KESEMPATAN meraikan majlis makan makan atas jemputan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menjadi satu pengalaman berharga buat barisan pelakon filem Impak Maksima 2.
Berlangsung secara santai, mereka bukan sahaja dapat berkongsi soal filem malah juga mendengar pelbagai kisah menarik yang diceritakan oleh Tuanku.
Kata pengarah Impak Maksima 2 iaitu Dr Ahmad Idham, pelakon-pelakon yang terlibat juga meluahkan rasa teruja apabila dapat bertentang mata dengan seorang raja berjiwa rakyat.
Muhsin bersalam dengan Raja Perlis.
“Tidak ramai orang kebanyakan macam kita semua boleh makan malam bersama Tuanku. Jadinya semua pelakon amat berbesar hati apabila dapat berjumpa dengan Tuanku.
“Mereka teruja dan tak sangka boleh berjumpa Tuanku selepas berlakon Impak Maksima 2. Mereka dapat melihat satu sisi berbeza seorang raja dalam majlis santai sebegitu,” katanya ketika dihubungi mStar.
Raja Perlis bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid telah berkenan menerima kunjungan kru produksi Impak Maksima 2 dalam satu majlis makan malam yang berlangsung di Kangar, Perlis pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah guna ‘kabel’, anak Ahmad Idham tetap kena pergi uji bakat
ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak cemburu kembali mengarah filem, Ahmad Idham minta ‘cuci hati’
Turut sama berangkat adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail.
Tambah Ahmad Idham, majlis makan makan itu juga telah memberi ruang buatnya kembali mengadakan penggambaran filem di negeri berkenaan untuk karya akan datang.
Mereka dapat melihat satu sisi berbeza seorang raja dalam majlis santai sebegitu
DR AHMAD IDHAM
PENGARAH
“Tuanku ada bagi hint cadangan untuk saya buat filem di sana. Sebelum ini pun banyak filem saya yang menjalani penggambaran di Perlis.
“Saya hanya beri maklum balas untuk doakan Impak Maksima 2 berjaya dan selepas itu akan kembali ke Perlis bagi penggambaran filem akan datang,” ujarnya.
Selain Idham pelakon yang turut sama pada majlis makan malam itu ialah Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli dan Riezman Khuzaimi.
Barisan pelakon Impak Maksima 2.
Sementara itu bercakap tentang karya terbaharu arahannya itu, Ahmad Idham juga tidak menyangka mendapat sambutan hangat orang ramai ketika mereka hadir untuk sesi promosi di utara meskipun belum ditayangkan di pawagam.
“Harap sambutan hangat orang yang datang ini juga menggambarkan jualan tiket di pawagam nanti. Bagi saya rangka promosi sebelum tayangan amat penting supaya peminat boleh mendekati pelakon lebih rapat,” jelasnya.
Filem tersebut akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 17 Julai ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube