BERMULA dengan muntah dan cirit-birit, namun tiada siapa menyangka ia adalah petanda awal kepada kematian yang tragis.
Demikian kisah dikongsikan oleh seorang pelayar Facebook mengenai pemergian mengejut anak sulungnya, Muhammad Ikmal Azizuddin yang meninggal dunia disyaki kerana jangkitan kuman akibat kencing tikus.
Mengimbas kembali detik pilu berkenaan, Mohd Azizuddin Aziz berkata anak sulungnya itu pada mulanya menyertai aktiviti mendaki gunung bersama empat rakan pada 13 Julai lalu.
Allahyarham Muhammad Ikmal Azizuddin meninggal dunia pada Khamis, 17 Julai.
Sekembalinya daripada aktiviti tersebut, tiada apa yang pelik berlaku malah anaknya yang mesra disapa Along pergi bekerja seperti biasa pada keesokan hari.
“Pada Selasa (15 Julai), paginya Along dah rasa kurang sihat… muntah-muntah dan cirit birit. Dia terus dapatkan rawatan di klinik swasta.
“Doktor hanya mengesahkan rasa sakit Along sebagai sakit biasa dan hanya dibekalkan ubat demam dan sakit-sakit badan.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Cik ti’ gembira berkeliaran, wanita kongsi bagaimana boleh dapat penyakit kencing tikus dari kedai runcit
ARTIKEL BERKAITAN: Akibat jangkitan kuman, guru wanita ditemukan meninggal dunia di rumah
“Hari Rabu, Along dah dapat MC dan cuba lawan sakitnya dengan pelbagai cara bersenam bagi mengeluarkan peluh jantannya,” tulisnya dalam hantaran pada Selasa (22 Julai).
Menurut lelaki itu, keadaan kesihatan anaknya makin merosot pada Khamis, 17 Julai dan dia dirujuk ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan lanjut.
Sepanjang perjalanan dari kampung yang terletak di Kodiang, Kedah ke Melaka, dia bersama isteri serta tiga orang anaknya yang lain tidak henti-henti memanjatkan doa selepas menerima panggilan telefon daripada hospital memaklumkan keadaan Along yang semakin tenat.
-
Muhammad Ikmal alami muntah dan cirit-birit selepas menyertai aktiviti mendaki gunung bersama rakan-rakan.
-
Pada awalnya dia dirawat di klinik swasta dan diberikan ubat demam kerana sakit dianggap biasa.
-
Keadaan makin merosot, lalu dirujuk ke Hospital Besar Melaka dan didiagnos dijangkiti kuman kencing tikus.
-
Kuman itu dipercayai berasal daripada tin minuman yang diminum tanpa dicuci semasa pendakian.
-
Selepas empat hari berjuang, Muhammad Ikmal meninggal dunia pada 17 Julai 2025.
Kemudiannya, mereka menerima panggilan terakhir daripada hospital pada pukul 8.30 malam Khamis (17 Julai) memaklumkan Along menghembuskan nafas terakhir.
“Kata doktor, ciri-ciri kuman yang serang dia adalah jenis kuman air kencing tikus.
“Kencing tikus bukan daripada air terjun atau pokok yang beracun tapi daripada tin minuman yang dia beli sendiri… satu sahaja.
Perkongsian dibanjiri dengan ucapan takziah netizen.
“Tanpa basuh Along terus buka dan minum pada hari pendakian bukit tersebut (Ahad). Empat hari sahaja serangan kuman cara diam yang telah menghancurkan buah pinggangnya, paru-paru, saraf dan jantung,” tulisnya lagi sambal menambah, jenazah Along selamat dikebumikan di kampung halaman pada pagi Jumaat (18 Julai).
Pada akhir coretan, Mohd Azizuddin berkata perkongsian kisah berkenaan diharapkan menjadi pengajaran buat semua.
Sehingga kini hantaran tersebut meraih lebih 15,000 perkongsian selain dibanjiri ribuan komen netizen yang menitipkan doa di atas pemergian anak lelakinya.