RSS Suria

Penjual nasi lemak ditipu pelanggan buat pembayaran guna kod QR… Bayar lebih lepas kantoi, minta maaf

SUDAH menjadi asam garam dunia perniagaan apabila golongan peniaga ditipu oleh pelanggan.

Begitu juga seorang peniaga makanan bernama Rudy Hasnan yang terkilan dengan penipuan dilakukan dua pelanggannya.

Menurut ceritanya yang dikongsikan di X, dia mendakwa pelanggan berkenaan menunjukkan resit pembayaran palsu yang kononnya sudah dipindahkan ke akaun peniagaannya melalui transaksi online.

Bagaimanapun, dia yang berniaga nasi lemak dengan pelbagai jenis lauk di Kepong, Kuala Lumpur, berkata, tiada sebarang bayaran diterima daripada pelanggan berkenaan apabila pemeriksaan dibuat.

“Baru je berlaku. Ada dua orang pelanggan datang makan sini. Tunjuk resit pembayaran tipu masa buat bayaran. Sebelum blah (pergi), minta tambah air.

“Kami buat semakan pada akaun, tak ada pun bayaran masuk dari dia. Benda yang kau tipu tu jadi darah daging dengan lemak kau. Sama-sama Melayu pun macam ni,” tulisnya dalam ciapan tersebut.

Rudy (kiri) mula menjalankan perniagaan sejak Mac.

Susulan kejadian pada malam Khamis itu, mStar mendapatkan Rudy bagi menjelaskan situasi yang berlaku di gerainya yang diberi nama Kudapan ini.

Kata lelaki berusia 34 tahun itu, kejadian berlaku sewaktu rakan niaganya mengambil alih tugas menjaga gerai mereka yang diusahakan sejak awal Mac lalu.

“Dua orang lelaki Melayu muda tu datang makan di gerai saya pukul 9 malam. Masa tu orang belum ramai lagi. Jadi saya pun singgah ke masjid untuk solat Isyak dulu.

“Kami bergilir-gilir solat untuk jaga kedai. Kebetulan kawan yang bantu saya berniaga tu jaga gerai. Kawan saya pun layan pelanggan tu sementara saya siap solat.

“Mereka makan nasi lemak berlauk sambal kerang dan ayam masak kicap dan teh o’ ais limau. Mereka masih ada masa saya kembali ke gerai. Masa tu gerai dah mula sibuk dengan pelanggan dine-in dan take-away,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dicekup edit resit! Beli jam RM54 tapi cuma ‘transfer’ 1 sen, dedah dah ramai kawan buat tapi tak kantoi

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kantoi curi 6 bungkus nasi kerabu, buat helah tertinggal duit dalam kereta… Tergamam dicekup pekedai!

Mengimbas situasi berlaku, dia berkata, taktik penipuan dua individu ini bermula sewaktu mereka mahu membayar makanan berharga RM19.

Katanya, salah seorang daripada mereka menunjukkan resit selepas membuat bayaran menggunakan imbasan QR yang disediakan menggunakan aplikasi Maybank.

“Sebelum tu, kawan saya dah maklumkan mengenai jumlah perlu dibayar. Masa buat bayaran, salah seorang tu ada tunjuk resit seakan-akan dah bayar dan cepat-cepat tarik semula telefon.

“Saya sempat tengok jumlah dan nama akaun bank tu betul. Masa tarik telefon dia cakap nak ‘refill’ air. Saya pun bagi air dan terus layan pelanggan lain. Saya ingatkan mereka masih duduk minum air.

“Bila selesai layan pelanggan, saya dapati mereka sudah tiada. Memang rasa musykil pada resit tadi sebab tak jelas. Jadi saya buat semakan pada akaun, tapi tiada duit yang masuk,” ujarnya penuh kecewa.

Sebenarnya kalau tak ada duit boleh je terus terang. Saya boleh bagi makan jika memerlukan bantuan saya.

RUDY HASNAN

Rudy yang merupakan bekas jurutera awam berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya berdepan dengan penipuan seperti itu dan mengakui berasa terkilan dengan sikap dua pelanggan terbabit..

Bagaimanapun, pemuda yang merantau dari Johor Bahru, Johor untuk mencari rezeki di ibu kota ini menganggap kejadian ini sebagai dugaan perlu dihadapi seorang peniaga.

“Bulan September tahun lepas saya hilang pekerjaan sebab syarikat tutup selepas 11 tahun berkhidmat. Jadi saya beralih ke minat saya iaitu berniaga masa bulan Ramadan dengan jual nasi campur waktu malam.

“Alhamdulillah pilihan saya tu mendapat tempat di hati orang-orang kota. Jadi pelanggan-pelanggan yang biasa datang kedai suruh saya teruskan berniaga sampai hari ini.

“Sebenarnya kalau tak ada duit boleh je terus terang. Saya boleh bagi makan jika memerlukan bantuan saya. Tapi kalau menipu macam ni, saya rasa tindakan mereka menindas orang lain,” jelasnya.

Rudy dan rakan niaganya menjual aneka pilihan lauk.

Susulan hantarannya yang menjadi tular di X, Rudy menjelaskan individu terbabit sudah menghubunginya untuk membuat permohonan maaf dan pembayaran.

“Individu berkenaan sudah mesej saya selepas posting berkenaan viral. Dia minta maaf dan buat pembayaran. Bayaran diterima pun lebih.

“Saya nak pulangkan balik tapi dia tak nak. Jadi saya akan masukkan dalam tabung masjid untuk manfaat kepada orang lain,” ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top