PENOLONG Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang, Selangor selepas mengadu sakit dan sukar bernafas pada pukul 3.23 petang Ahad.
Menurut pembantu rumahnya, Khusnul Khotimah, 23, Allahyarham sudah dua minggu mengadu mengalami sakit-sakit badan dan sering meminta ditemani kerana takut bersendirian.
Katanya, sebelum Allahyarham meninggal dunia dia sempat menyuapkan minuman pada arwah namun Raja Nurfatimah tidak mampu menelannya sebelum mengeluarkan semula.
Allahyarham sudah tidak sihat sejak dua minggu lalu.
"Arwah sudah dua minggu dalam keadaan kurang sihat, cuma hari ini keadaannya nampak lebih teruk. Pagi tadi, dia ada cakap sakit badan dan minta saya untuk urutkan.
"Kemudian, pada jam 1 tengahari tadi saya ada suapkan arwah air, tetapi arwah seolah-olah tidak dapat menelannya dan memuntahkan kembali. Selepas itu, keadaan kesihatannya semakin merosot.
"Saya agak panik dan keluar rumah untuk mendapatkan bantuan. Saya maklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum ada jiran datang untuk membantu," katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani proses bedah siasat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas wartawan, penerbit majalah Pesta Fauziah Rauf meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Nas Ahmad meninggal dunia
Kemudian, jenazah dijangka akan dibawa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.
Raja Nurfatimah memulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan BH di Biro BH Kuala Terengganu pada usia 18 tahun, sebelum ditawarkan jawatan wartawan Harian Metro (HM).
Selain hiburan, Allahyarham juga pernah bertugas di beberapa unit lain seperti berita, jenayah dan hiburan di HM dan BH.
Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan sejak berusia 18 tahun.
Allahyarham juga merupakan Bendahari Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).
Sepanjang kerjaya sebagai wartawan hiburan, Allahyarham banyak melakukan pendedahan kehidupan artis seperti penderitaan penyanyi veteran, Sahara Yaacob yang hidup menumpang di stor.
Beliau juga pernah meraih Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) pada 2017 menerusi tajuk artikel Beginikah Perilaku Penggiat Seni dalam ruangan Desas Desus di dalam akhbar BH.
Raja Nurfatimah juga antara wartawan yang mempunyai hubungan rapat dengan artis ternama Allahyarham Datuk Sharifah Aini serta banyak menulis mengenai Biduanita Negara itu. Arwah juga rapat dengan bintang veteran, Noorkumalasari dan keluarga Datuk Yusof Haslam.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube