RSS Suria

Penyampai 3 pagi Era direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil minta SKMM jalankan siasatan

MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan secara terperinci terhadap tiga penyampai radio yang didakwa mempersenda upacara agama lain.

Kata Fahmi, SKMM juga diarahkan memanggil syarikat serta pihak pengurusan stesen radio berkenaan ke ibu pejabat untuk memberikan keterangan.

“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.

Aksi yang tular meriah undang kecaman netizen.

“Jadi, saya arahkan SKMM menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat SKMM,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Sementara itu, Astro Audio dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga penyampai iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin.

Malah pihaknya juga menyatakan kesediaan untuk berkerjasama dengan pihak SKMM untuk siasatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN:Tarian didakwa persenda agama, Era dan penyampai 3 Pagi mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN:Nabil buat hal lagi, tak sengaja kongsi aurat isteri ketika video call – “Saya nampak dia macam bertudung”

“Kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Penyampai radio Era sudah tampil memohon maaf.

Sebelum ini, stesen radio Era dan tiga penyampainya tampil membuat permohonan maaf selepas tular video menyaksikan penyampainya menari seolah-olah mempersendakan agama Hindu.

Permohonan maaf itu dibuat secara terbuka dan dimuat naik di semua sosial media rasmi stesen berkenaan.

Isu ini timbul selepas salah seorang penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Azad Jazmin dilihat sakan meniru satu aksi tarian berkaitan keagamaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp,Telegram,Twitter,TikTok,Facebook,InstagramdanYouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top