PELAKON Fasha Sandha menyifatkan penganugerahan Pingat Jasa Baik (PJB) daripada Tuanku Raja Perlis antara momen paling bermakna sepanjang lebih 20 tahun penglibatan dalam dunia seni.
Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 41, juga tidak menyangka nama tersenarai sebagai salah seorang penerima.
"Pengiktirafan dan kurniaan itu jarang diberikan oleh Tuanku Perlis, dan saya sendiri tak sangka akan terpilih.
Fasha kongsi momen penerimaan PJB di Instagram miliknya.
"Saya akui masih banyak kekurangan, tapi Alhamdulillah bila kelebihan yang ada diiktiraf, rasa sangat dihargai. Saya anggap ini rezeki untuk keluarga dan anak-anak juga," katanya kepada mStar.
Fasha merupakan salah seorang penerima PJB sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Dia menerima pengiktirafan itu dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis yang berlangsung di Istana Arau pada 26 Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Fasha Sandha terima Anugerah Pingat Jasa Baik, tampil anggun mengenakan busana pertunangan berusia 7 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Sudah biasa hidup sederhana, Fasha Sandha kecewa pramugari persoal naik kelas ekonomi
Menurut Fasha, pengiktirafan tersebut juga menjadi satu pembakar semangat untuk terus berkarya dan mungkin lebih aktif di negeri Perlis selepas ini.
“Saya takut kalau cakap lebih nanti bunyi macam riak, tapi saya anggap ia sebagai hadiah daripada Tuanku. Saya sangat berbesar hati menerima kurniaan ini.
“Ia menyuntik semangat untuk jadi insan yang lebih baik, sebab banyak lagi perkara yang saya nak perbaiki. Saya tak nak janji lebih-lebih, tapi insya-Allah saya akan tetap menjadi diri saya yang sekarang dan mungkin akan lebih aktif di Perlis selepas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fasha turut mencuri perhatian apabila memilih menyarung semula busana pertunangan miliknya sewaktu menghadiri istiadat rasmi itu yang merupakan rekaan Rizman Ruzaini.
Fasha ditemani suami ke acara itu.
Fasha berkata keputusan tersebut dibuat kerana ingin memenuhi protokol yang ditetapkan pihak istana, selain busana itu hanya pernah dipakai sekali sebelum ini.
“Ada beberapa pilihan baju tapi semuanya tak menepati kriteria protokol istana. Bila fikir balik, baju tunang itu baru pakai sekali, jadi saya rasa elok sangat kalau pakai semula.
“Sebenarnya Rizman pun terkejut saya pakai baju itu. Dia siap pesan banyak kali, kalau nak pergi mana-mana majlis, minta saja baju baharu dengan dia,” kongsinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube