PENGUMUMAN insentif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu, disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang melihat langkah itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan B40.
Presiden PTVM iaitu Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, selain aspek asas seperti makanan, kesihatan dan pendidikan, pembangunan minda rakyat melalui kandungan televisyen berkualiti juga wajar diberi perhatian.
Bagaimanapun, kata Jurey, bajet terhad memaksa pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memotong jumlah episod program bagi memberi peluang kepada lebih banyak syarikat produksi lain sebagai langkah yang dihargai, namun hanya bersifat sementara.
Jurey percaya tambahan dana akan perkasakan lagi kandungan digital RTM.
"Sebagai penyiar rasmi kerajaan, RTM bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi rakyat terhadap dasar kerajaan.
"Malangnya, dengan kekangan bajet, RTM kini bergelut untuk menghasilkan kandungan berkualiti yang mampu bersaing dalam landskap digital yang semakin mencabar.
"Realitinya, banyak syarikat produksi kini berdepan tekanan kos operasi yang tinggi, margin keuntungan yang kecil dan dalam banyak kes, terpaksa meneruskan projek hanya untuk mengekalkan reputasi walaupun tanpa pulangan mencukupi," katanya.
Dalam pada itu, Jurey turut menegaskan pihak RTM kini mengendalikan lima saluran siaran iaitu TV1, TV2, TV Okey, Berita RTM dan Sukan RTM, namun peruntukan tidak meningkat seiring keperluan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jurey Latiff minta kerajaan tambah peruntukan industri seni, bina studio penggambaran seperti Korea Selatan dan China
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan hanya kejar rating, PVTM minta produksi lebih hati-hati tulis skrip elak dipandang serong
"Setiap tahun kos penerbitan naik daripada sewa peralatan, gaji kru, logistik hingga ke pasca produksi.
"Keadaan ini membebankan RTM dan turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat penerbitan yang bergantung padanya," ujarnya.
Tambah Jurey, lebih membimbangkan apabila RTM kini perlu bersaing dengan lambakan kandungan negatif di media sosial yang mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat, khususnya generasi muda.
"Tanpa sokongan bajet mencukupi, RTM tidak mampu menghasilkan kandungan segar, kreatif dan membina naratif nasional yang penting dalam membendung pengaruh ideologi luar," jelasnya.
Pengumuman Anwar tentang insentif SARA disambut baik ramai pihak.
Sehubungan itu, PTVM merayu agar kerajaan mempertimbangkan penambahan peruntukan kepada RTM dalam Belanjawan 2026 demi kelangsungan industri kandungan tempatan dan pembangunan nilai rakyat.
Jurey menyarankan agar peruntukan tambahan kepada RTM digunakan untuk menambah jumlah penerbitan tempatan, menawarkan kadar perolehan yang adil kepada syarikat memberi peluang kepada bakat baharu serta mengukuhkan naratif Malaysia melalui drama, dokumentari, rancangan ilmu dan program patriotik.
Presiden PTVM itu percaya Perdana Menteri akan melihat rayuan ini bukan sebagai beban kewangan, sebaliknya sebagai pelaburan jangka panjang terhadap pembinaan bangsa dan identiti Malaysia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube