ABANG ipar pelakon Riezman Khuzaimi iaitu Allahyarham Rennie Abdul Ghani ada menyatakan hasrat menyertai maraton sebaik berjaya menakhluk Gunung Rinjani di Indonesia.
Riezman atau Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, berkata dia sebak mengingatkan kembali perbualannya bersama arwah malah sudah membeli kasut larian kerana mahu menyertai maraton.
Dia juga turut menyifatkan abang ipar sulungnya itu seorang suka menjaga kesihatan dan miliki tubuh badan yang ‘fit’.
Rizman kongsi hobi yang sama dengan arwah abang ipar.
“Dia ada sebut pada saya, ini yang terakhir selepas ini mahu ikut maraton sebab saya sudah kurang mendaki. Dia pun sudah beli kasut nak ikut maraton.
“Saya sedih bila kenang kembali sebab kami selalu mendaki berdua, banyak kenangan bersama. Tapi tak sangka benda nak jadi, dia pun sudah tawan habis gunung di Malaysia.
“Arwah ada pasang hasrat nak mendaki gunung di Thailand dan Indonesia selepas habis mendaki di Malaysia,” katanya ketika dihubungi mStar.
ARTIKEL BERKAITAN:Abang ipar Riezman Khuzaimi meninggal dunia, jatuh ketika daki Gunung Rinjani
ARTIKEL BERKAITAN:Individu seleweng duit konsert akhirnya didakwa… Riezman Khuzaimi mahu bersihkan nama, terbuka selesai luar mahkamah
Menurut Riezman, dia menerima khabar duka itu sekitar 8 malam semalam dan dimaklumkan arwah tergelincir ketika melalui kawasan curam Torean.
Jelasnya, ketika ini anak Allahyarham sudah tiba di Lombok bagi menanti jenazah bapanya.
“Jenazah di bawa turun sejak pukul 6.15 pagi tadi secara manual kerana helikopter tidak dapat masuk. Mereka jangka proses membawa turun jenazah mengambil masa 12 jam.
“Anak arwah pun sudah tiba di sana kerana dia berada di Bandung, jadi terus terbang ke Lombok sementara isteri dan yang lain tunggu di Johor Bharu.
Biarkan isterinya untuk tentukan.
RIEZMAN KHUZAIMI
PELAKON
“Saya pun kemungkinan akan ke Lombok untuk membantu apa yang patut,” kongsinya.
Dalam pada itu, Riezman berharap agar jenazah abang iparnya itu dapat dikebumikan di Malaysia.
“Seboleh-boleh memang mahu bawa balik ke Malaysia tapi kami akan ikut proses di sana macam mana.
“Kalau tak boleh atau ada halangan kita biarkan isterinya untuk tentukan,” ujarnya.
Allahyarham dilaporkan tergelincir dilaluan Toren, Gunung Rinjani.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu.
Pihak taman negara memberitahu, pendaki yang dikenali dengan inisial RAG itu dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip.
Allahyarham memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh puluhan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!