RSS Suria

Remaja yatim piatu sembunyi surat tawaran diploma politeknik, tak mampu bayar yuran… Enggan susahkan penjaga rumah kebajikan

MENYEDARI hidup sebatang kara di rumah kebajikan, remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini bertindak menyembunyikan keinginannya untuk melanjutkan pelajaran dek kerana kekangan kewangan.

Berstatus anak yatim piatu, Muhammad Izzat Abd Rahman, 18, pada mulanya cuba merahsiakan tawaran untuk menyambung pengajian peringkat diploma di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun kejayaannya itu akhirnya diketahui pengasas rumah kebajikan Al-Faeez iaitu Syafiq Mobin yang kemudiannya berkongsi kisah Izzat di laman X.

“Ceritanya Izzat ni anak yatim piatu yang dihantar ke rumah Al-Faeez sejak kecil dengan abangnya. Dia seorang budak pandai tapi cepat rasa rendah diri sebab hidup tak ada ibu bapa.

Izzat (kanan) bersama abangnya.

“Bagi Izzat, itu satu kekurangan. Abang dia sudah sertai kem tentera di Sabah. Sekarang ni giliran dia dapat tawaran dekat Politeknik Ungku Omar pula,” kata Syafiq.

Namun kata Syafiq, Izzat hanya memaklumkan dia menerima tawaran bagi kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di PUO pada Rabu, 24 Julai iaitu hari terakhir bakal siswa perlu membuat bayaran yuran sebagai pengesahan kemasukan.

“Pagi Rabu baru dia beritahu kami yang dia belum hantar lagi segala dokumen sebab tak ada duit nak bayar yuran.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terkilan anak masuk politeknik, dapat ‘dekan’ tetap kena sindir! Bekas pelajar kelas depan mula ragu teruskan pengajian

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda hidap HIV tak selesa IPT ambil tahu status kesihatan, risau tak dapat masuk universiti – “Kami penat, takut didiskriminasiâ€

“Macam nak luruh jantung ni sebab hari dia beritahu tu, tarikh akhir untuk buat pembayaran. Maka pada Khamis tu kami seharian menghadap semua ni.

“Mencari penghulu kampung, bayar yuran dan segala hal lain. Harapnya pihak politeknik terima pendaftaran lewat ni,” kata Syafiq yang menubuhkan rumah kebajikan Al-Faeez sejak 2010.

Tambah Syafiq yang menguruskan rumah kebajikan untuk anak yatim piatu, anak yatim serta asnaf itu bersama lima lagi rakannya, dia begitu berharap Izzat ini berjaya mendapat tempat di politeknik.

Sejujurnya dia berbelah bahagi nak ke PUO sebab tak nak berjauhan dengan keluarga di AlFaeez.

SYAFIQ MOBIN

“Saya kenal Izzat sejak tahun 2017. Mak dia sudah meninggal sejak dia kecil lagi. Kemudian ayah dia pula meninggal pada 2021. Sebelum ni dia tinggal di asrama lain.

“Lepas tu baru kami ambil alih jaga dia dan abangnya. Izzat ni seorang yang suka bergurau. Kalau minta tolong pun dia memang ringan tulang.

“Dalam sukan juga Izzat seorang yang aktif bermain permainan ragbi. Daripada segi akademik pula, Izzat seorang yang mudah faham,” jelasnya lagi kepada mStar.

Umpama mentari pagi yang menerangi alam, Syafiq menerima khabar gembira daripada Pengarah Politeknik Ungku Omar pada Jumaat.

Izzat (dua dari kanan) merupakan seorang pelajar yang bagus dalam akademik.

“Alhamdulillah buat masa ni dah dapat perhatian pengarah politeknik itu sendiri. Kami sudah dihubungi oleh pihak pengurusan untuk bagi bantuan daripada segi kewangan kepada Izzat.

“Izzat diterima masuk dan diminta hadir melapor diri di PUO pada Sabtu.

“Saya dan rakan-rakan berharap Izzat tak sia-siakan peluang ini. Sejujurnya dia berbelah bahagi nak ke PUO sebab tak nak berjauhan dengan keluarga di AlFaeez, tempat dia membesar.

“Tapi hidup mesti diteruskan, pelajaran mesti diutamakan. Kami akan sentiasa ada bersama Izzat, bagi sokongan dan dorongan sampai dia berjaya mengejar cita-cita dia nanti,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top