SIAPA saja yang tak suka melancong?
Selagi diberi rezeki dan kesempatan, sebaik-baiknya peluang tersebut digunakan bukan sahaja untuk merehatkan minda, tetapi melihat keindahan dunia ciptaan Yang Maha Esa.
Sudah tentu pelbagai persiapan perlu dilakukan sebelum melakukan pengembaraan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.
Namun, sakit sewajarnya tidak dijadikan asbab untuk menguburkan impian mahu melancong.
ARTIKEL BERKAITAN: Bawa perangai ‘typical’ Malaysia ke luar negara, keluarga ini ditengking penduduk New Zealand… Nak ‘healing’ tapi tak kena tempat!
ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini berhabis RM3,000 trip ke Labuan Bajo… Macam-macam aktiviti boleh buat, siap bermalam atas kapal
Perkongsian seorang lelaki, Alif Syazwan Sulaiman yang bercuti ke Jepun bersama keluarga termasuk kakaknya, Nur Ain Shazlylie Sulaiman, yang merupakan penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) Tahap 5 membuktikan bahawa segala halangan boleh diatasi dengan perancangan dan semangat yang kuat.
Menurut Alif, 27, kakaknya yang didiagnos dengan penyakit itu sejak hampir lima tahun lalu perlu melakukan hemodialisis tiga kali untuk seminggu.
“Sebenarnya sebelum percutian ke Jepun baru-baru ini, kami melancong ke Thailand dan ke Makkah untuk menunaikan umrah. Kakak saya pernah melakukan dialisis di dua negara tersebut.
“Saya sebagai adik dan banyak menguruskan hal kesihatan kakak semestinya buat research tentang klinik dialisis, contohnya macam pergi ke Thailand. Untuk umrah, pihak agensi umrah uruskan.
“Sama juga ketika kami merancang untuk ke Jepun, benda penting yang perlu dibuat adalah research tentang klinik dialisis,” ujarnya kepada mStar.
Alif (kanan) menemani kakaknya (dua, kiri) menjalani rawatan hemodialisis.
Berkongsi lebih lanjut, Alif berkata, dia akhirnya berjaya menemukan sebuah klinik dialisis di Tokyo selepas beberapa klinik tidak menepati kriteria tertentu.
“Lokasi percutian kami adalah Tokyo dan Fuji. Saya jumpa beberapa buah klinik dialisis tapi tak gunakan Bahasa Inggeris. Bimbang nanti sukar pula.
“Akhirnya jumpa juga sebuah klinik yang menggunakan Bahasa Inggeris dan memang pakar dalam dialisis.
“Bagi pesakit CKD, laporan dialisis akan diberi setiap bulan oleh hospital. Jadi, saya hubungi klinik tersebut menerusi emel kira-kira dua minggu sebelum ke sana.
“Prosesnya sangat mudah, hanya emel surat rujukan doktor beserta laporan dialisis untuk buat appointment,” kongsinya.
Menurut Alif yang berasal dari Johor Bahru, sepanjang enam hari berada di Jepun, kakaknya melakukan dua sesi hemodialisis di klinik yang terletak di Tokyo.
“Harganya 55,000 yen atau sekitar RM1,800 untuk satu sesi dan setiap sesi memakan masa empat jam. Doktornya fasih berbahasa Inggeris, dan peralatannya agak advance dari segi teknologi.
“Selepas dialisis, biasanya pesakit akan lemah sedikit. Memandangkan saya yang buat itinerari, semuanya bergantung kepada rawatan dialisis kakak.
“Memang itinerari kena buat dengan rapi. Memandangkan kakak masih muda, dia selalunya berehat dua jam je. Lepas tu, aktiviti seterusnya berjalan macam biasa.
Prosedur rawatan dialisis di klinik mudah selepas membuat appointment lebih awal.
“Alhamdulillah, dia tak ada masalah pun malah mampu berjalan hingga 30,000 steps setiap hari. Syukur keadaan kesihatan kakak pun baik sehingga kami pulang Malaysia,” kongsinya lagi sambil menambah, wanita itu dijangka menjalani pembedahan transplan buah pinggang pada Mei tahun hadapan.
Turut membuat sedikit perkongsian mengenainya di Facebook, Alif berkata dia tidak menyangka hantarannya mengundang perhatian malah ramai yang terinspirasi daripada kisah kakaknya.
“Tak dinafikan masa mula-mula rancang melancong dan apabila tanya pandangan atau rekomendasi di media sosial, ramai yang bagi feedback negatif.
“Mahal, risiko dan macam-macam lagi dibangkitkan. Tapi kalau tak cuba, kita tak tahu. Apa yang paling penting, buat persediaan mengikut kondisi kesihatan masing-masing.
“Kita kena terima hakikat kita dah sakit. Tapi jangan down dan kecewa. Jalani hidup sementara diberi kesempatan. Usah jadikan sakit sebagai alasan,” akhirinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube