KECEDERAAN otot pada bahagian kaki tidak menghalang pelakon Ikmal Amry menghabiskan cabaran sebuah pertandingan kecergasan yang disertainya di Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Berjaya menempuh semua halangan dalam tempoh 1 jam 40 minit, Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 31, dan seorang lagi rakannya terpaksa berpuas hati meskipun pernah mencatatkan masa lebih singkat ketika sesi latihan.
“Kami terpaksa memperlahankan kelajuan kerana berdepan kecederaan otot. Semasa sesi latihan, masa yang dapat direkodkan bawah tempoh 1 jam 20 minit,” katanya ketika dihubungi mStar.
Hakimi dan Ikmal (kanan) berjaya menamatkan acara Hyrox kategori beregu.
Ikmal menyertai pertandingan yang diberi nama Hyrox bersama rakannya iaitu Hakimi Noordin dalam kategori beregu (double pro).
Dalam pada itu dia juga memberitahu berdepan kekangan masa untuk melakukan lebih banyak latihan sebelum berangkat ke sana disebabkan sibuk dengan jadual penggambaran drama.
Menurut pelakon filem Gantung: Musketeer Code ini, dia yakin sekiranya mempunyai kesempatan untuk melakukan latihan secara kerap, mereka mampu untuk mencatatkan masa lebih baik.
ARTIKEL BERKAITAN:[V] Ikmal Amry tak ‘judge’ selebriti lelaki tayang badan di media sosial… “Biasalah budak-budak bila ada body”
ARTIKEL BERKAITAN:Ikut Ikmal Amry berlatih boxing, patutlah badan makin sasa… Sahut cabaran buat push up
“Boleh dikatakan untuk pertandingan ini, saya main ‘redah’ sahaja sebab tidak banyak melakukan latihan. Jadi dapatlah hasil yang tidak begitu memuaskan.
“Selepas mendaftar, saya terikat dengan jadual penggambaran. Saya rasa jika melakukan latihan rapi, kami mungkin dapat memperoleh catatan masa lebih baik,” ujarnya.
Penyertaan kali ini juga memberi semangat buat Ikmal untuk terlibat dalam acara sama di beberapa negara berbeza.
Kami terpaksa memperlahankan kelajuan kerana berdepan kecederaan otot.
IKMAL AMRY
PELAKON
Bagaimanapun dia perlu mempertimbangkan banyak perkara termasuk kos perbelanjaan kerana ada beberapa anjuran diadakan di lokasi terlalu jauh.
“Jun nanti saya dan Hakimi akan sertai acara ini di Singapura.
“Kalau ikutkan hati memang nak ikut serta di seluruh dunia tetapi ia juga memerlukan kos lain seperti tiket penerbangan dan penginapan hotel,” jelasnya.
Ikmal mahu memperbaiki catatan masa di pertandingan akan datang.
Untuk info, Hyrox merupakan sebuah pertandingan kecergasan dalaman yang direka untuk menguji keseimbangan daya tahan kardiovaskular dan kekuatan otot.
Acara ini terdiri daripada larian lapan kilometer yang digabungkan dengan lapan stesen senaman.
Hyrox turut dianjurkan di beberapa negara seluruh dunia termasuk Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Itali.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube