PENYANYI Syasya Rizal akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan dia bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara mengikut suami yang kononnya menjadi alasan dia keluar daripada kumpulan Dolla sebelum ini.
Syasya atau Nursyasya Afiqah Shahrizal, 24, menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu, sama ada dalam temu bual mahupun kenyataan rasmi.
Sebaliknya, kenyataan itu dibuat neneknya yang juga pelakon Rozie Othman ketika ditanya media mengenai punca pengundurannya.
Syasya enggan keruhkan lagi salah faham peminat.
“Sejujurnya saya sendiri tak pernah cakap macam itu pun. Cerita tentang ‘belajar di luar negara’ itu sebenarnya datang daripada nenek.
“Masa itu dia agak gementar dan saya memang faham,” katanya menerusi ciapan di laman X.
Tambah Syasya, dia memahami niat baik Rozie yang ingin melindunginya.
ARTIKEL BERKAITAN:Perjalanan mungkin sudah berbeza, Syasya tetap sokong Dolla
ARTIKEL BERKAITAN:Rozie Othman kecewa cucu keluar Dolla, Syasya dan suami sambung pengajian di luar negara
Malah sebagai cucu dia menghargai keprihatinan yang ditunjukkan terhadapnya.
“Dia hanya cakap apa dia rasa terbaik pada ketika itu dan saya akan sentiasa sayang dia kerana dia cuba lindungi saya,” tambahnya.
Syasya menjawab isu tersebut selepas seorang pengguna X bertanya mengenai perancangannya menyambung pelajaran ke luar negara.
Jelasnya lagi, sepanjang isu itu menjadi bualan, dia tidak pernah sekali pun mengesahkan kenyataan tersebut.
Syasya perjelaskan salah faham pada peminat.
“Tapi untuk menjelaskan perkara ini saya sendiri tak pernah sebut apa-apa pun tentang nak sambung belajar di luar negara.
“Tak pernah dalam apa-apa kenyataan rasmi atau temu bual. Kalau nak semak, silakan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Syasya turut memaklumkan bahawa dia kini kembali aktif menyanyi, sambil menyesuaikan diri dengan fasa baharu sebagai isteri dan ibu muda.
“Saya masih menyanyi, masih berkongsi, masih belajar, dan masih terus berkembang sebagai seorang isteri, seorang ibu, dan seorang gadis dengan impian yang besar. Insya-Allah,” kongsinya.
Syasya bersama suami kahwin tidak lama selepas pengunduran diri daripada Dolla.
Pada April 2024, Syasya mengejutkan peminat apabila dia mengundurkan diri daripada Dolla.
Tidak lama itu dia mengumumkan berita gembira sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya iaitu Nasrullah pada 20 April tahun lalu.
Mereka juga dikurniakan cahaya mata lelaki pada 23 Disember lalu dan diberi nama Muhammad Yassir Hayyan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube