PENERBIT Datuk A Aida menepis dakwaan segelintir pihak yang menuduh tindakannya membantu pelakon veteran, Dharma Harun Al Rashid hanya sekadar mahu meraih publisiti.
Menegaskan dirinya sudah lama dikenali dalam industri, A Aida, 55, berkata niatnya ikhlas untuk membantu dan tidak mengharapkan perhatian netizen apatah lagi memanipulasi keadaan untuk kepentingan diri.
"Saya nak publisiti? Saya rasa A Aida dah cukup dikenali. Saya tak perlu publisiti.
“Mulut netizen saya dah biasa. Saya lama dalam bidang ini, jadi saya faham," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telefilem Bos Nak Cuti lakonan Aniq Suhair dan Azeva Natassha yang akan disiarkan di Salam HD 113, esok.
Menurut A Aida, dia menyerahkan sepenuhnya kepada Allah dan memaafkan mana-mana individu yang melemparkan komen negatif hingga melukakan hati.
A Aida menawarkan telefilem berjudul Kisah Cinta Kau & Aku kepada Dharma.
“Segala kata-kata baik yang diberikan, Alhamdulillah. Hanya Allah yang dapat membalas-Nya.
“Namun kepada mulut longkang yang menyakitkan hati hingga buat kita tak tidur malam sebab sedih, menjawablah dengan Tuhan. Tapi saya maafkan apa saja perbuatan mereka.
"Cuma apabila nak berkata-kata, kita sebagai orang Islam, mestilah berhemah," katanya.
Mengulas mengenai pertolongan yang dihulurkan kepada Dharma, A Aida berhasrat menawarkan peluang berlakon secara konsisten selama setahun kepada pelakon itu.
Katanya, tawaran tersebut akan direalisasikan sekiranya lakonan Dharma dalam telefilem Kisah Cinta Kau & Aku yang bakal menjalani penggambaran pada 15 Ogos ini memuaskan.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] A Aida buat kejutan, tawar watak khas untuk Dharma Harun selepas tertekan tiada kerja
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun tak beri anak berhenti belajar, raih keputusan cemerlang dalam pelajaran
"Saya nak tengok dahulu kemampuan dia dalam telefilem ini. Kalau hasil lakonannya bagus, insya-Allah saya akan pastikan setiap bulan dia ada kerja.
“Setahun saya akan bantu jaga dia. Semoga Allah mempermudahkan niat saya ini," katanya.
Walaupun tawaran yang diberikan mungkin sekadar watak sampingan, namun ia tetap dapat membantu Dharma menampung keperluan bulanan termasuk bayaran sewa rumah.
"Kalau babak banyak, bayaran pun lebih. Untuk watak kecil pun paling tidak dia boleh dapat RM2,000 ke RM3,000. Saya memang ikhlas nak bantu," ujarnya
Dalam masa sama, A Aida turut mempertimbangkan untuk membuka peluang sama kepada anak Dharma iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Barisan pelakon yang membintangi telefilem Bos Nak Cuti terbitan A Aida Production.
Terdahulu, keadaan terkini Dharma mencuri perhatian apabila tular video yang memaparkan fizikalnya kelihatan susut, sekali gus mencetuskan kerisauan peminat terhadap tahap kesihatannya.
Pelakon filem Adik Manja itu mengakui mengalami tekanan hidup sejak tiga tahun lalu selepas tidak menerima sebarang tawaran berlakon, hingga berat badannya menurun ke 45 kilogram.
Simpati dengan nasib yang menimpa Dharma, A Aida membuat kejutan dengan menawarkan sebuah telefilem bagi memberi keceriaan dan semangat baharu kepada pelakon itu meneruskan kehidupan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube