RSS Suria

Sayu sambut Ramadan, mak ayah Hud Aryan rupanya masih tak mampu balik rumah sejak hilang anak

KEHADIRAN bulan Ramadan pada tahun ini sememangnya terasa ‘kosong’ serta janggal buat Mohd Nor Hafifi dan isteri, Azean Nur Atikah Ramley.

Pasangan ini diuji hebat apabila anak tunggal mereka, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi kembali ke pangkuan Ilahi selepas ditemukandi celahan pokok tebing muara sungai pada Rabu lalu.

Hud Aryan yang berusia 19 bulan pada mulanya dilaporkan hilang dari rumah neneknya di Kampung Aira, Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan pada petang Isnin lalu,selepas disuap makan oleh ibunya.

Mayatnya ditemukan tiga hari kemudian.

Hud merupakan anak tunggal kepadaMohd Nor Hafifi dan isteri, Azean Nur Atikah Ramley.

“Situasi pada tahun ini berbeza buat kami. Apatah lagi baju raya buat Hud sudah kami sediakan lebih awal.

“Saya memang beritahu isteri supaya buat persiapan baju raya awal supaya boleh tumpukan kepada puasa dan solat tarawih.

ARTIKEL BERKAITAN:Hud Aryan ‘tersembunyi’ di satu tempat, tak jauh dari rumah… Bapa pegang kata-kata ustaz, terus ikhtiar cari sampai jumpa

ARTIKEL BERKAITAN:Jenazah kanak-kanak hilang selamat dikebumikan – “Berlarilah di syurga Hud”

“Namun siapa kami untuk menolak takdir. Biarpun bersedih dengan kehilangan satu-satunya cahaya mata, saya beritahu isteri untukmenerima ketentuan Allah,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Mohd Nor Hafifi, sejak insiden menyayat hati itu, dia dan isteri buat masa ini masih belum pulang ke rumah mereka yang terletak tidak jauh dari rumah mentuanya.

“Tak pastilah macam mana perasaan apabila pulang ke rumah nanti. Sebab banyak memori dan barangan Hud di rumah.

“Ketika ini hanya gambar dan video Hud sebagai pengubat rindu.

“Sekarang kami masih di rumah mentua kerana urusan majlis tahlil serta masih ramai menerima kehadiran tetamu yang beri sokongan,” ujarnya.

Situasi pada tahun ini berbeza buat kami. Apatah lagi baju raya buat Hud sudah kami sediakan lebih awal.

MOHD NOR HAFIFI

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu susulan laporan media mengatakan dia dan isteri bakal disiasat polis, Mohd Nor Hafifi berkata mereka tiada masalah dan akan memberikan kerjasama penuh jika diminta berbuat demikian.

“Saya ada baca laporan media namun tak tengok komen-komen netizen. Saya tak tahu nak kata apa… tulislah apa sahaja.

“Tak dinafikan memang ada rasa terkilan bila baca, lagi pula masih bersedih tapi tak apalah. Kami serahkan kepada Allah,” akhirinya.

Jenazah Hud dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah.

Berita mengenai Hud Aryan menjadi perhatian seluruh negara apabila kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang pada 24 Februari lalu.

Selepas tiga hari pencarian, mayatnya ditemukan tersangkut pada pokok di tebing muara sungai di Kampung Kerila pukul 4.20 petang, Rabu lalu.

Hasil bedah siasat tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecederaan.

Setakat ini, polis tidak membuka sebarang kertas siasatan dan kes kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan pada awal pagi Khamis.

Scroll to Top