MELIHAT semakin ramai pelakon baharu dalam dunia seni, aktor Adam Lee sedar dia tidak sepatutnya berasa selesa dengan kedudukannya.
Akur akan jatuh bangun sebagai seorang pelakon, bagi Adam atau Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, apa boleh dilakukan adalah dengan terus menjaga kualiti dan disiplin dalam bekerja.
Adam memberitahu dia beruntung kerana isterinya, Sweet Qismina banyak mengingatkan dia tentang perkara itu memandangkan aktres itu sudah berlakon sejak kecil.
Adam mahu terus pertahankan bakat.
“Saya kena sedar diri dan ruang sebab tidak akan selamanya berada di atas. Ada masa kita akan di bawah.
“Isteri saya adalah orang yang selalu memberi nasihat tentang hal itu. Saya terima kata-katanya sebab dia lebih berpengalaman kerana sudah berlakon sejak kecil.
“Saya juga percaya perlu sentiasa terapkan bahawa pelakon menjual bakat dan seni,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN:Bukan watak hero sahaja, Adam Lee terbuka tawaran ‘second lead’… Mahu tunjuk kemampuan sebagai aktor serba boleh
ARTIKEL BERKAITAN:Adam Lee masuk hospital, tulang pada bahagian leher patah
Adam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi tayangan bersama peminat episod akhir drama lakonannya berjudul Pabila Dia Tersenyum.
Mendapat sorakan hebat penonton ketika babak lakonannya ditayangkan, dia juga tidak menyangka masih diterima baik dalam kalangan peminat.
Baginya respons penonton juga memberi gambaran status sebagai suami orang bukanlah penghalang terus memikat hati peminat.
Saya kena sedar diri dan ruang sebab tidak akan selamanya berada di atas
ADAM LEE
PELAKON
“Kita tahu biasanya artis sudah berkahwin kurang dapat sambutan. Tetapi saya lega dengan sorakan penonton drama ini. Tak sangka mereka suka.
“Sebagai pelakon semestinya saya mahukan setiap karya diterima baik peminat. Kalau tiada respons penonton maknanya ia tak menjadi,” ujarnya.
Dalam drama berkenaan, Adam membawakan watak Danial iaitu salah seorang anak kepada Datuk Zulkifli lakonan Rusdi Ramli.
Amir (kiri), Alya dan Adam menjadi pelakon utama drama Pabila Dia Tersenyum.
Mempamerkan sikap kasar seorang anak terhadap bapa sendiri, Adam menolak andaian sesetangah pihak drama tayangan di platform Viu itu cuba menerapkan nilai-nilai tidak baik.
“Kalau tonton drama itu dari episod awal pasti tahu kenapa Danial jadi begitu. Bukannya saya mahu ajar penonton jadi biadab,” jelasnya.
Selain Adam dan Rusdi, drama itu turut menampilkan Amir Ahnaf serta Alya Iman sebagai pelakon utama.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube