KALI terakhir membuat persembahan tujuh tahun lalu, kumpulan Sheila On 7 (SO7) hadir menghiburkan peminat tempatan di Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Vokalis SO7 iaitu Duta atau Akhdiyat Duta Modjo, 45, berkata mereka teruja kerana dapat berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menghiburkan peminat di Malaysia.
Menurut Duta, sepanjang kunjungan ke Malaysia, mereka sering menerima sambutan hangat daripada peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap kerjaya muzik kumpulan berkenaan.
Peminat puas hati dengan kunjungan SO7 selepas tujuh tahun menanti.
“Malam minggu ini anda semua di sini (SNBJ) bersama Latihan Pestapora. Sudah lama sekali SO7 tidak ke sini (Malaysia).
“Kali terakhir kami membuat persembahan pada 2018 tetapi Alhamdulillah malam ini (Sabtu) kami ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan teman-teman (peminat) semua.
“Malaysia selalu memberikan memori yang baik untuk SO7. Terima kasih kerana hadir dan percaya anda boleh terhibur di Bukit Jalil malam ini,” katanya.
Tepat pukul 9.50 malam, SNBJ menerima laungan peminat yang menyambut kehadiran kumpulan dari Indonesia itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Sheila On 7 beraksi di ‘Latihan Pestapora’, tampil persembahan 90 minit buat peminat di Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan Sheila On 7 bikin kecoh, penganjur kena kecam punca jalan sesak
Melalui segmen berdurasi kira-kira 90 minit, SO7 menghiburkan peminat dengan 17 buah lagu termasuk Bila Kau Tak Disampingku, Memori Baik, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia dan Hari Bersamanya.
Penonton di Latihan Pestapora Malaysia 2025 sebelum itu dihiburkan dengan persembahan Salam Muzik, Pamungkas, Kunto Aji, Dolla, Bittersweet, Barasuara X Efek Rumah Kaca dan .Feast bermula dari pukul 1.30 petang.
Acara menjadi lebih gamat apabila kumpulan Bunkface muncul di pentas utama pada pukul 7.50 malam dengan membawakan persembahan bertenaga menerusi lagu Malam Ini Kita Punya, Panik dan Situasi.
Persembahan Bunkface antara yang mendapat sorakan gemuruh penonton.
Tidak terhenti di situ, penonton terus bersorak menyanyi dan menari bersama vokalis kumpulan Bunkface, Sam ketika membawakan lagu Revolusi.
Sorakan terus bergema dengan persembahan daripada penyanyi Hindia yang meneruskan lagi kehangatan pada malam konsert.
Tampil dengan beberapa lagu popular termasuk Rumah Ke Rumah, Cincin, Evaluasi, Kita Ke Sana dan Kids tidak dinafikan sosok penyanyi Indonesia itu turut berjaya menambat hati peminat di Malaysia.
SNBJ dibanjiri penonton pada malam Latihan Pestapora Malaysia 2025.
Sebagai penutup konsert, Feel Koplo menutup tirai Latihan Pestapora Malaysia 2025 dengan seleksi lagu-lagu remix seperti We Found Love dan Stecu Stecu.
Paling istimewa, kemunculan Ari Lesmana membuat ‘comeback’ di Malaysia selepas hiatus daripada dunia seni menggemparkan stadium.
Mendendangkan lagu viral berjudul Mangu, nyanyian Ari menjadi antara persembahan penutup yang memberikan kesan buat penonton pada malam konsert.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube