RESTORAN atau kedai mamak sememangnya popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang mahu menikmati hidangan seperti roti canai, mi goreng dan teh tarik.
Kebanyakan kedai mamak juga beroperasi 24 jam sehari, menjadikan ia lokasi yang paling sesuai untuk aktiviti lepak bersama kawan atau keluarga.
Di Facebook, seorang individu dikenali sebagai Ali Daud meraih perhatian ramai selepas berkongsi penulisannya tentang budaya lepak di kedai mamak.
Kedai mamak juga menjadi lokasi untuk segelintir individu mencari ketenangan. -Gambar hiasan
“Sekarang baru saya faham kenapa orang suka duduk lama di kedai mamak. Lama dah saya perhatikan. Ada orang order secawan kopi tapi duduk berjam-jam. Saya bukan jenis suka ‘ngopi’ kat kedai tanpa tujuan jelas. Tapi bila join mereka barulah saya faham.
“Rupanya, mereka ada banyak sebab sendiri. Ada yang sekadar nak lepaskan lelah selepas kerja. Dengan kopi di tangan, sembang dengan kawan, atau sekadar termenung kosong. Itu cara recharge tenaga sebelum sambung urusan seterusnya,” tulis Ali.
Menurut individu itu lagi, dia beranggapan golongan tersebut juga suka melepak di kedai mamak kerana suasananya yang lebih tenang berbanding rumah masing-masing.
Duduk di mamak macam terapi tak rasmi, tempat kita ambil masa untuk diri sendiri.
ALI DAUD
“Ada juga yang nak refresh otak sebelum balik rumah. Mereka tak terus balik sebab tahu ada tanggungjawab menanti. Kadang-kadang, duduk sekejap di mamak dengan suasana yang tenang dah cukup untuk beri ruang buat mereka susun semula fikiran.
“Kalau di rumah, suara anak-anak gaduh atau isteri memarahi mereka boleh buatkan otak serabut. Tapi di mamak, dengan sedikit ruang untuk diri sendiri, segalanya terasa lebih lapang. Ia sebenarnya lebih daripada sekadar tempat makan.
“Ia jadi ruang peribadi untuk sesetengah orang berehat, berfikir, atau mencari sedikit kedamaian dalam dunia yang sibuk ini,” tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terjerit-jerit berleter suami asyik ‘healing’ kedai mamak, nak ikut tak boleh – “Setakat sambal sardin aku boleh masak!”
ARTIKEL BERKAITAN: Individu tak tenang lepak ‘mamak’! Anggap pelanggan suka sembang, gelak kuat-kuat tak reti hormat orang lain
Dalam hantaran tular itu, Ali turut menyifatkan kedai mamak seperti satu tempat terapi buat mereka yang mencari ketenangan.
“Duduk di mamak macam terapi tak rasmi, tempat kita ambil masa untuk diri sendiri. Termenung dengan secawan kopi, nampak kecil, tapi impaknya besar. Ia tempat untuk lepaskan lelah, cari ketenangan, atau cuma nikmati saat tanpa gangguan,” tulisnya.
Di ruangan komen, ramai netizen bersetuju dengan penulisan itu, malah mereka berkata pekerja kedai mamak juga kebanyakannya sangat baik.
Antara menu yang menjadi pilihan ramai di kedai mamak.
Malah, netizen berkata restoran mamak juga menjadi lokasi yang paling sesuai untuk mereka menonton perlawanan bola.
“Mamak ni duduk lama-lama pun owner tak kisah. Itu saja sebabnya.
“Sebab mamak melayan pelanggannya seperti raja. Bukan asbab sedap roti atau kuih itu,” tulis netizen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube