RSS Suria

Setahun menyepi, Aniq Suhair perbaiki hubungan dengan Allah

PELAKON Aniq Suhair akhirnya membuka mulut tentang kehilangannya daripada radar seni selama lebih setahun.

Jelas Aniq, keputusan itu dibuat demi memberi fokus kepada pengajiannya dalam jurusan perniagaan serta memperbaiki hubungan dengan Allah.

"Tak pernah rasa menyesal langsung. Walaupun waktu itu kerjaya saya tengah meningkat, saya pilih untuk berehat.

“Tempoh itu buat saya tenang dan ia sukar nak digambarkan. Saya juga temui kunci untuk lebih dekat dengan Allah," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media telefilem Bos Nak Cuti di pejabat A Aida Production pada Jumaat.

Aniq rindu untuk kembali berlakon selepas setahun berehat.

Menurut Aniq atau nama sebenarnya Mohammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 24, sepanjang berehat dia juga sering dilanda rasa rindu untuk kembali berlakon.

"Rasa rindu itu terlalu kuat, macam gian nak hidupkan karakter baru. Tapi saya percaya rehat itu perlu dan beri banyak makna dalam hidup," katanya.

Tambah Aniq, walaupun kembali ke set penggambaran, dia kini turut terikat dengan tanggungjawab bersama syarikat keluarga dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

"Boleh dikatakan lakonan sekarang menjadi kerjaya kedua saya. Saya terlibat dengan projek jangka panjang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: A Aida ‘kenenkan’ Aniq Suhair dengan anak perempuannya, sama-sama terbuka kenal hati budi

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun berehat, Aniq Suhair sedia terima tawaran iklan tapi bukan untuk drama

“Tapi kalau ada masa dan skrip yang sesuai, saya tetap akan berlakon. Telefilem atau filem pendek lebih fleksibel dari segi masa.

"Saya tidak menolak untuk berlakon drama bersiri, asalkan jadual tidak bertembung dengan komitmen lain," katanya.

Aniq turut berkongsi impiannya untuk memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik dan bersedia memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang ditawarkan kepadanya.

Mengulas mengenai telefilem Bos Nak Cuti, Aniq meluahkan rasa teruja apabila dapat bergandingan dengan Azeva Natassha selain bekerja di bawah arahan Zul Huzaimy.

Barisan pelakon dan tenaga produksi telefilem Bos Nak Cuti.

Bos Nak Cuti mengisahkan Melati (Azeva) yang terdesak mahu cuti untuk pulang ke kampung, tetapi dihalang bos barunya, Adrian (Aniq). Melati nekad menipu Adrian kononnya perlu ke luar bandar demi tugasan kerja, namun sebenarnya membawa bosnya pulang ke kampung.

Pelbagai insiden lucu dan konflik berlaku, termasuk cinta tak dijangka yang mula berputik antara mereka. Ketegangan memuncak apabila Melati hampir bertunang dengan lelaki kampung yang rupa-rupanya penipu. Akhirnya, Adrian hadir sebagai penyelamat dan melamarnya dengan restu ibu.

Bos Nak Cuti akan disiarkan menerusi saluran Salam HD di Unifi TV pada Ahad, 27 Julai jam 3 petang.

Penonton boleh menonton secara percuma melalui aplikasi Unifi TV.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top