RSS Suria

Sharifah Shahirah mahu Sakinah terus bahagia bersama suami dan sembilan anak tiri, tak ambil pusing reaksi netizen

PENYAMPAI radio Sharifah Shahirah tidak mahu mengambil pusing mengenai penilaian negatif yang diterima berhubung pernikahan adiknya iaitu pelakon Sharifah Sakinah dengan pilihan hatinya.

Shahirah atau mesra disapa Shiera, 51, berkata, dia menyedari apa sahaja yang dikongsi di media sosial pasti akan menerima pelbagai reaksi orang ramai.

Kata Shahirah, keluarganya tidak pernah mengambil hati dengan komen negatif kerana menganggap ia merupakan asam garam dalam dunia hiburan.

"Biarlah mereka kecapi bahagia dan kalaulah ada yang masih mahu menghakimi itu perkara biasa.

Shiera (kiri) menerima kehadiran suami Sakinah sebagai anggota keluarga baharu.

"Sebab kadang-kadang, bila kita kongsikan sesuatu di media sosial, walau hanya seminit orang sudah nilai macam-macam.

"Tapi mereka tidak tahu cerita secara keseluruhan. Tidak mengapalah… sudah jadi lumrah dunia," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Shiera memberitahu dia menyambut baik kehadiran anggota keluarga baharu dan menyifatkan Cyril Kongo seorang lelaki baik.

"Alhamdulillah, keluarga kami sudah makin bertambah. Dia kacukan Vietnam dan Perancis.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakinah kahwin minggu lalu, sorok identiti suami atas alasan peribadi

ARTIKEL BERKAITAN: Sharifah Sakinah tayang wajah suami, berbulan rahsia selepas sah bernikah

"Bagi saya dia (Cyril) seorang yang baik dan kami menerima seadanya. Bagi saya itu yang paling diperlukan," ujarnya.

Shiera bagaimanapun meluahkan rasa syukur dan tumpang senang apabila melihat Sakinah kini sudah kembali bergelar isteri.

Menurut Shiera, Cyril juga sudah bertemu dengan ibunya bagi menghormati keluarga untuk mendapatkan restu.

"Saya sudah selalu jumpa mereka, nak kongsi atau tidak saja di media sosial. Alhamdulillah, dia (Cyril) pun selalu bertemu dan beri penghormatan dengan mak untuk dapatkan restu.

"Malah Sakinah pun sudah bertemu dengan keluarga belah sana. Adik ipar pun mempunyai anak hasil perkahwinan yang terdahulu, kalau tidak silap saya sembilan orang.

"Sakinah pun cuba untuk menjadi ibu tiri yang baik, Insya-Allah. Macam saya sendiri pun ada anak tiri (perkahwinan sebelum ini). Jadi kita hanya jadi insan yang terbaik, tak perlu nak berebut apa-apa," katanya.

Sebelum ini Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, mendedahkan sudah kembali berumah tangga namun enggan berkongsi secara terperinci perihal suaminya itu.

Sakinah dan Cyril (kanan) bernikah pada April lalu.

Pada 12 Jun lalu, Sakinah akhirnya terbuka berkongsi wajah suaminya yang dinikahi sejak April.

Untuk rekod, Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha pada 2015 namun bercerai pada 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Anais Adha yang kini berusia 8 tahun.

Sakinah kembali bertemu jodoh dengan lelaki asal Sweden bernama Michael Hansen pada 2021 dan ia juga berakhir dengan penceraian dua tahun kemudian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top