PERKONGSIAN sijil lahir wanita ini mencuit hati warga maya gara-gara nama datuknya turut tercatat di ruangan ‘kanak-kanak’.
Selepas tularnya sijil lahir ‘rare’ tersebut, ada yang mengaitkannya dengan bangsa Arab yang terkenal dengan sejarah keturunan pada nama.
Terhibur dengan komen-komen yang diterima, Norfarahana Umairah Rahmat berkata dia berwajah wanita Jawa, bukan dari keturunan Arab.
Berkongsi cerita dengan mStar, wanita berusia 26 tahun ini berkata, dia hanya menyedari nama datuknya tercatat dalam sijil lahir selepas setahun membuat pembaharuan dokumen berkenaan.
Sijil lahir asalnya tidak mengandungi nama bapa di ruangan kanak-kanak.
“Saya baru perasan malam semalam (malam Jumaat), terus saya kongsikan di media sosial dan tak sangka akan tular.
“Sebenarnya, surat beranak saya yang lama Norfarahana Umairah je, jadi saya buat yang baharu untuk tambah nama ayah, Rahmat.
“Kebetulan ibu saya ada urusan rasmi kena guna surat beranak baru dan saya pun ikut serta buat baharu di UTC (Pusat Transformasi Bandar),” ujarnya yang berasal dari Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hilang keyakinan diri gara-gara nama seperti lelaki, pernah nak tanya ibu ayah tapi hajat tak kesampaian
ARTIKEL BERKAITAN: "Annoying pula rasa" – Wanita anggap nama anaknya dah tak ‘special’, orang terdekat diam-diam ‘ciplak’
Menurut wanita ini lagi, dia kembali melihat dokumen berkenaan disebabkan terdapat urusan rasmi yang memerlukan sijil lahir dihantar dan ketika itulah menyedari terdapat nama datuknya.
Dia mengakui kesilapan diri kerana tidak membuat semakan dengan teliti semasa mengambil dokumen berkenaan pada tahun lepas.
- Nama datuk termasuk dalam ruangan nama anak di sijil lahir baharu.
- Buat sijil baharu untuk tambah nama bapa yang tiada dalam sijil lama.
- Kesilapan tak disedari masa ambil sijil di UTC, baru perasan selepas setahun.
- Netizen gelak dan kaitkan dengan nama gaya Arab, tapi dia orang Jawa.
- Akan buat sijil gantian baru untuk elak masalah, caj cuma RM5.
“Masa ambil mungkin salah semakan, kedua-dua pihak (saya dan staf UTC) tak perasan.
“Disebabkan semalam saya ada dokumen yang perlu hantar bersama surat beranak, barulah saya sedar yang nama dalam surat beranak sekali dengan nama atuk,” tambahnya yang berkhidmat sebagai eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat rekaan dalaman.
Baginya, jika tidak mempunyai hal penting yang melibatkan sijil lahir, pasti dia tidak akan menyedari kesilapan pada ruangan nama berkenaan.
Warga maya turut terhibur dengan perkongsiannya.
Ditanya tentang ketiadaan nama bapanya di sijil lahir asal, dia sendiri tidak pasti sebabnya.
“Kenapa nama ayah tak ada di sijil lahir lama tapi yang baru ada, saya pun tak pasti.
“Cumanya, sijil gantian ni rare sebab sekali dengan nama atuk,” ujarnya sambil menyatakan caj untuk proses sijil gantian hanyalah RM5.
Dalam pada itu, Norfarahana Umairah menyatakan dia akan membuat sijil lahir gantian baharu dalam waktu terdekat ini bagi mengelakkan terdapat masalah di kemudian hari.