TERUS mendunia… Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membanggakan Malaysia apabila lagu nyanyiannya berjudul Anta Permana menjadi pilihan Raja Britain, Raja Charles III.
Meluahkan rasa syukur, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, tidak menyangka karya tersebut mendapat perhatian golongan Diraja negara berkenaan.
“Saya dimaklumkan oleh pihak Universal Music Malaysia dan memang tidak sangka.
Siti anggap rezeki namanya dikenali.
“Alhamdulillah, Allah beri rezeki untuk dikenali. Bukan mudah untuk orang sayang dan hargai hasil kerja kita,” katanya.
Siti berkongsi perkara tersebut ketika dihubungi stesen radio Hot FM selepas perkara tersebut menjadi bualan ramai.
Malah, Buduanita Negara ini turut memuat naik satu hantaran di laman Instagram mengucapkan penghargaan atas pemilihan lagu tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:[V] Akui silap sendiri, Siti Nurhaliza tak segan minta maaf
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Nurhaliza mohon maaf, terkhilaf promosi produk tanpa selidik
Dalam pada itu, Siti tidak lupa mengucapkan tahniah kepada komposer iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong yang menghasilkan lagu berkenaan.
“Kita perlu komposer seperti mereka ini. Dalam kelebihan zaman sekarang muzik kita boleh tembusi pasaran luar.
“Yang penting menepati halwa telinga pendengar,” luahnya.
Lagu nyanyian Siti bukti karya tempatan mendapat perhatian luar.
Lagu Anta Permana berada dalam senarai kegemaran Raja Charles sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel seperti yang diumumkan oleh aplikasi Apple Music.
Senarai lagu-lagu pilihan dikumpulkan khas di platform berkenaan dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist, yang menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia.
Antara selebriti lain yang turut tersenarai adalah Diana Ross, Bob Marley, Michael Buble dan Grace Jones.
Turut tersenarai adalah lagu-lagu seperti Crazy In Love (Beyonce), Love Me Again (Raye) dan The Loco Motion (Kylie Minogue).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!