HASRAT sepasang suami isteri untuk memberikan perkhidmatan berinai di Kampung Ulu Pegoh, Melaka berhampiran A’Famosa Resort bertukar menjadi mimpi ngeri apabila berdepan kejadian mistik.
Mereka dikatakan tersesat dan terkandas di kawasan sunyi dan ‘keras’ dalam kejadian pada malam Rabu lalu.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.25 malam itu tular di media sosial selepas dimuat naik Ashirashiro, 29, di media sosial.
Menurut wanita tersebut, kejadian bermula apabila dia dan suaminya yang berusia 30 tahun dalam perjalanan ke A’Famosa Villa dengan berpandukan navigasi daripada aplikasi Google Maps sehinggalah menyedari arah perjalanan agak mencurigakan.
Pasukan bomba berjaya menyelamatkan pasangan ini selepas menerima panggilan.
“Entah macam mana boleh terbabas ikut satu jalan pelik lalu bawah flyover lama. Waktu tu dah senja, dah mula rasa tak sedap hati suruh suami patah balik.
“Tapi dia cakap ada jalan tar (berturap), ada laluan jadi mesti boleh jumpa jalan besar. Kami masih teruskan perjalanan sebab fikir mungkin sekejap je dah nak sampai.
“Tapi makin masuk, makin jauh. Kiri kanan sempit. Tak boleh u-turn (patah balik). Kereta mula tersangkut dalam lumpur” tulisnya dalam hantaran di TikTok.
Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki mereka mula tenggelam dalam selut dan tidak dapat bergerak.
ARTIKEL BERKAITAN:Suami isteri lari malam! Tak tahan kongsi rumah sewa dengan penunggu… ‘Dia’ tumpang main kereta mainan, petik kipas…
ARTIKEL BERKAITAN:Seram didatangi gadis muka buruk, guna phone Nokia! Sedih dapat tahu kisahnya, roh tak tenang selepas kemalangan
Pasangan tersebut kemudian menghubungi pelanggan yang menempah perkhidmatan inai untuk memaklumkan situasi mereka.
Namun malangnya pelanggan tersebut pada mulanya cuba menghantar bantuan, tetapi keadaan lokasi membuatkan mereka tidak berani meneruskan perjalanan.
“Mereka (pelanggan) pun tak berani nak teruskan. Katanya tempat tu ‘lain macam’ sangat. Saya tak paksa, takut jadi apa-apa pula dekat orang lain. Masa tu rasa hopeless sangat.
“Kami sedaya upaya tolak kereta keluar lumpur. Sudah la gelap, tak ada lampu atau manusia lalu di situ. Ada lampu kereta dengan powerbank je.
“Adrenaline rush, saya dan suami tolak kereta dengan seluruh tenaga yang ada. Sampai sekarang badan sakit. Tapi masa tu tak fikir apa cuma kita kena keluar dari tempat ni. Nak menangis tapi tahan,” luahnya.
Kami sama-sama ketakutan. Tak tahu kami dekat mana, siapa boleh tolong.
ASHIRA
Dalam situasi cemas itu, Ashira turut cuba mendapatkan bantuan kecemasan menerusi talian 999, namun dimaklumkan untuk menghubungi khidmat towing.
“Dispatcher (penyampai) jawab (suruh) call towing. Suami tak putus asa. Kami sama-sama ketakutan. Tak tahu kami dekat mana, siapa boleh tolong. Allah je boleh tolong.
“Saya bersyukur abang-abang bomba sampai pukul 8.34 malam. Mereka macam tak percaya kami boleh lalu situ. Abang bomba cakap tempat ni keras, tak sepatutnya ada orang sampai sini.
“Kami (bomba) naik 4×4 (pacuan empat roda) pun seriau nak masuk. Korang dah kena bawa ni. Allahuakbar, hanya Allah je tahu perasaan kami masa tu,” jelasnya menceritakan semula detik cemas itu.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pasangan terbabit dan terus menghantar bantuan ke lokasi.
Pasangan ini tidak mengalami kecederaan serius berikutan kejadian berlaku pada Rabu.
“Pasukan kemudian menemui sebuah kereta dinaiki pasangan itu yang terbenam di dalam selut sedalam 15 sentimeter di penghujung jalan Kampung Ulu Pegoh berhampiran A’ Famosa Resort.
“Mangsa mendakwa mereka dibawa ke situ berdasarkan petunjuk Google Maps ke A ‘Famosa Resort menggunakan laluan Kampung Pegoh dan ketika ditemui pasangan itu dalam keadaan panik dan ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.
Menurut Zulkhairani, pasangan berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum pasukan bomba memulakan kerja-kerja menarik kereta tersebut menggunakan kaedah winching.
Mengakhiri perkongsiannya, Ashiro juga berpesan supaya orang ramai sentiasa mempercayai gerak hati sendiri jika berhadapan situasi mencurigakan.
“Abang-abang bomba escort (bantu) kami keluar. Pastikan kami selamat sampai ke jalan besar. Alhamdulillah semua selamat tapi masih dalam keadaan trauma, takut.
“Terima kasih ya Allah. Terima kasih kerana selamatkan kami. Terima kasih abang-abang bomba. Pengajarannya, percayakan firasat awak. Hati-hati semua!,” ujarnya.