RSS Suria

Tak belajar teater pun boleh berlakon atas pentas, Arfie Shah dan Aizat Saha sahut cabaran dalam ‘Persiapan Seorang Aktor’

PELAKON Arfie Shah menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa hanya mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan teater sahaja layak berada dalam sebuah pementasan.

Menurut Arfie atau nama sebenarnya Ad Wafri Shaharuddin, 32, pengalaman pertamanya membintangi produksi teater Persiapan Seorang Aktor membuka mata tentang betapa pentingnya disiplin dan semangat untuk terus belajar.

"Saya tak setuju kalau ada yang kata teater hanya untuk pelakon yang ada pendidikan formal dalam bidang itu. Saya sendiri masih baru… tapi kalau ada minat dan kesungguhan, kenapa tak boleh cuba?

Arfie mahu kembangkan bakat ke dunia teater.

"Teater banyak ajar saya tentang kejujuran dalam lakonan kerana semua dilakukan secara langsung di depan penonton. Tiada ‘cut’, tiada ‘take two’. Ia betul-betul uji kemampuan kita," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Arfie turut mengakui peluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Nam Ron dan Aloy Paradoks sememangnya satu cabaran besar buat dirinya.

Namun begitu, dia melihat peluang itu sebagai satu fasa pembelajaran yang sangat berharga.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Terlalu banyak berfikir sampai ganggu emosi, Arfie Shah gementar jadi hero ‘Impak Maksima 2’

ARTIKEL BERKAITAN: Aizat Saha nasihat rakan influencer buat ‘content’ berilmu, jangan jadikan orang lain bahan jenaka

"Saya tahu tahap saya masih di peringkat permulaan. Tapi saya anggap peluang ini sebagai ruang untuk saya belajar dan pada masa sama pastikan watak saya dapat bantu kuatkan penceritaan secara keseluruhan," ujarnya.

Sementara itu, rakan seangkatannya dalam pementasan sama, aktor Aizat Saha pula berpandangan teater adalah ruang yang terbuka kepada sesiapa sahaja bergelar pelakon tidak kira dari mana mereka bermula.

Bagi Aizat, berlakon di pentas memerlukan lebih daripada sekadar bakat.

Saya sendiri masih baru… tapi kalau ada minat dan kesungguhan, kenapa tak boleh cuba?

ARFIE SHAH

PELAKON

"Apa yang penting adalah minat dan komitmen. Teater bukan hanya tentang hafal skrip dan berdiri di pentas, tapi juga tentang kekuatan mental, fizikal dan semangat kerja berpasukan," jelasnya.

Aizat turut mengakui proses latihan yang ketat turut menjadi satu bentuk latihan mental buatnya untuk lebih berdisiplin dan memahami karakter secara mendalam.

Aizat ambil peluang belajar berlakon teater.

"Semua yang berlaku dalam teater adalah ‘live’, jadi kita kena betul-betul hayati watak. Jadual latihan memang padat, tapi itulah yang membina kekuatan persembahan," katanya.

Teater Persiapan Seorang Aktor akan dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bermula 16 hingga 19 Julai ini.

Tiket boleh dibeli menerusi laman web onetix dengan harga RM58, RM78 dan RM98.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top