MENJADI anak kepada pengarah filem tidak memberi jalan mudah buat pelakon baharu Ahmad Aydeel untuk terus menerima tawaran berlakon.
Kata Aydeel, 21, bapanya iaitu pengarah Dr Ahmad Idham sentiasa menerapkan untuk bermula daripada bawah agar dapat menimba ilmu serta pengalaman yang sangat berharga.
Malah Aydeel juga perlu menjalani sesi uji bakat dalam filem terbaharu Ahmad Idham berjudul Impak Maksima 2.
Aydeel dalam dunia lakonan sebelum bergelar pengarah.
“Bapa saya letakkan syarat untuk habiskan pengajian jika mahu terlibat dalam industri seni. Sebelum ini saya banyak aktif kerja belakang tabir jika cuti semester.
“Apabila dia nampak ada perubahan saya diberi peluang untuk sertai uji bakat. Saya jalani proses sama seperti pelakon lain.
“Tiada istilah ‘kabel’. Bapa saya cakap tiada jalan mudah dan saya perlu mula daripada bawah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak cemburu kembali mengarah filem, Ahmad Idham minta ‘cuci hati’
ARTIKEL BERKAITAN: Filem adiwira Malaysia tak gagal, Ahmad Idham kata Superman dan Batman pun ambil masa lama sebelum berjaya
Menurut Aydeel bekerja di bawah arahan bapa sendiri merupakan satu cabaran baginya yang baru berjinak-jinak sebagai pelakon.
Sentiasa mahu memberikan yang terbaik, dia sanggup mengambil inisiatif untuk mendalami watak Tata dalam filem berkenaan.
“Bagi mendalami watak Tata yang bekerja sebagai mekanik saya kena lakukan persiapan yang terbaik. Saya tak mahu kecewakan bapa yang merupakan pengarah filem ini.
Saya jalani proses sama seperti pelakon lain
AHMAD AYDEEL
PELAKON
“Berlakon di bawah arahan bapa sangat menakutkan. Filem ini mempunyai pengikut tersendiri dan pernah diterbikan 18 tahun dahulu, jadi pasti penonton menaruh harapan tinggi,” ujarnya.
Mula aktif berlakon sejak awal Januari lalu, Aydeel sedar pasti ada yang akan terus membandingkan perjalanan kerjaya seninya dengan bapa sendiri.
Barisan pelakon Impak Maksima 2.
Baginya memulakan kerjaya sebagai pelakon adalah langkah awal sebelum dia menjadi pengarah.
“Saya berlakon untuk kejar ilmu. Sebelum jadi pengarah saya kena faham dahulu dunia lakonan supaya nanti saya boleh bimbing pelakon lain.
“Mesti akan ada perbandingan antara saya dengan Ahmad Idham. Tidak boleh lari sebab dia adalah bapa saya. Saya akan buat yang terbaik dan tidak akan buat dia hampa,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube