RSS Suria

Tak ramai nak cerita tentang ‘dark side’ Bali, hanya kongsi momen indah… Pelancong kena hati-hati sebelum minum air!

SEORANG rakyat Malaysia tular di TikTok selepas dia berkongsi mengenai dirinya yang terkena ‘Bali Belly’ selepas bercuti ke negara seberang.

Individu itu tidak bercerita lanjut, sebaliknya hanya menulis kapsyen ‘Bali Belly is real’ pada video yang memaparkan dia sedang terbaring di katil hospital.

Di ruangan komen, ramai rakyat Malaysia mengakui mereka pernah berdepan kejadian sama ketika berkunjung ke Bali, Indonesia.

“Aku pergi Bali, gosok gigi pun pakai air mineral. Memang minum air mineral saja sebab risau kena Bali Belly kat sana.

“Saya pun kena Bali Belly selepas makan soto kaki ayam. Tiga hari terbaring di hotel tak boleh buat apa-apa.

“Dulu kami kat Bali, tour guide pesan jangan order air bancuh. Kalau boleh minum air botol dan tin saja,” kongsi beberapa individu.

Apa itu Bali Belly?

Menurut laman sesawang HIF Health Hub, Bali Belly adalah nama lain bagi cirit-birit yang dialami pelancong disebabkan pengambilan makanan atau air yang tercemar.

Biasanya, Bali Belly disebabkan oleh bakteria.

bali 2

Antara hidangan yang boleh dinikmati di Bali. -Gambar hiasan

Bakteria yang paling berkemungkinan menyebabkan sakit perut ini adalah escherichia coli (e-coli) serta shigella dan salmonella.

Virus seperti norovirus dan rotavirus juga menyebabkan simptom yang sama.

Gejala

Gejala Bali Belly biasanya mula muncul dalam tempoh 1 hingga 10 hari.

1. Perut kembung, kekejangan perut, dan sakit abdomen

2. Cirit-birit – najis longgar dan berair

3. Muntah

4. Pening

5. Berpeluh

6. Keletihan

7. Demam atau suhu badan tinggi

Punca

Selain sumber air yang tidak sesuai diminum, Bali Belly juga berpunca daripada cuaca tropika yang panas dan lembap di Bali.

Keadaan cuaca itu menyebabkan bakteria pada makanan boleh berkembang lebih cepat.

Langkah pencegahan

1. Hanya minum air yang direbus atau air botol, ini kerana air paip di Bali tidak selamat untuk diminum.

2. Basuh tangan atau gunakan pembersih tangan sebelum makan.

3. Pesan minuman tanpa ais jika anda tidak pasti sama ada ais dibuat daripada air paip.

4. Elakkan membasuh buah-buahan atau sayur-sayuran dengan air paip.

5. Tinggalkan nota di bilik mandi untuk mengingatkan diri menggunakan air botol ketika menggosok gigi, jangan telan air semasa mandi.

6. Hanya makan makanan yang dimasak segar dan elakkan makanan yang dibiarkan pada suhu bilik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top