SEBELUM ini ramai terkejut apabila pelakon Ben Amir memaklumkan dia mengambil keputusan berhijrah ke Pulau Siargao, Filipina sejak sebulan lalu.
Keputusan berhijrah dibuat secara drastik, Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 35, memberitahu dia mahu memulakan sesuatu yang baharu dalam hidupnya.
Penghijrahannya itu juga kerana tidak lagi mahu mengulangi rutin yang sama setiap hari ketika menetap di Kuala Lumpur.
Ben tertarik dengan keindahan Pulau Siargao.
“Saya sudah berlakon selama 15 tahun dan rasa buat perkara sama, tiada perkembangan.
“Cukuplah kehidupan di bandar. Saya jual semua kecuali kereta dan berpindah ke sini (Siargao). Keputusan yang berani dan keluarga pun terkejut.
“Saya rasa hijrah ini perlu supaya saya boleh maju ke hadapan. Boleh berfikir dengan tenang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Ben Amir sesak nafas ketika mendaki, mohon maaf misi takluk Everest gagal
ARTIKEL BERKAITAN:Bukan paksaan sesiapa, Ben Amir rela korban rambut panjang demi ‘Bawah Payung Awan’
Ben berkongsi perkara tersebut dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya menjawab persoalan ramai tentang punca dia berpindah.
Memilih Pulau Siargao sebagai tempat tinggal baharu, kata pelakon ini dia mula jatuh cinta pada lokasi berkenaan sejak kali pertama ke sana sekitar dua tahun lalu.
Malah Ben juga menganggap bagaikan sudah terkena ‘sumpahan’ kerana mudah membuat keputusan untuk berpindah ke sana.
Saya rasa hijrah ini perlu supaya saya boleh maju ke hadapan
BEN AMIR
PELAKON
“Saya mula melawat Siargao pada hujung 2023 dan masa itu sekadar angan-angan nak pindah. Bila sampai semula pada hujung 2024 ada sesuatu yang berubah.
“Pulau ini bagaikan memanggil saya, susah nak cakap bagaimana. Ketika itu saya buat keputusan untuk pindah sini.
“Apabila bersembang dengan ramai orang mereka semua cakap perkara sama. Ia bagaikan ‘sumpahan Siargao’.
Ben biasakan diri hidup di pulau.
“Dalam tempoh lawatan selama dua minggu itu saya terus cari tanah dan rancang apa hendak buat,” ujarnya.
Ben turut mencerita rutin dilalui sepanjang tinggal di sana yang lebih tenang tanpa memikirkan soal mengejar masa ketika tinggal di Kuala Lumpur.
Dalam beberapa video yang dikongsi sebelum ini, dia juga dilihat kini sedang dalam proses membina rumah sendiri selain memulakan tananam ladang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!