RSS Suria

Tiap-tiap tahun jadi! Jemaah qariah berebut daging korban, ‘torpedo’ selalu hilang… Penyembelih tegur hukum halal haram

SETIAP kali tibanya Aidiladha, mereka yang berkemampuan dituntut untuk menyantuni golongan memerlukan menerusi pemberian daging korban daripada haiwan yang disembelih.

Di sisi Islam, disunatkan orang yang melakukan korban mengambil satu pertiga daripada daging tersebut untuk diri sendiri dan mengagihkan satu pertiga daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta satu pertiga lagi diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya seperti saudara-mara atau jiran.

Walau bagaimanapun, gempar di laman X tentang pendedahan daripada seorang lelaki mengenai perbuatan mencuri daging korban yang tanpa disedari semakin membarah dalam masyarakat.

Ibadah korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam.. -Gambar hiasan

Menurut lelaki terbabit yang berpengalaman menjadi penyembelih sejak tahun 2012, beberapa bahagian haiwan ternakan yang menjadi kegemaran umum sering hilang apabila proses melapah daging dijalankan.

“Cuba bayangkan lembu ada lima yang dikorbankan, tapi bahagian ekor langsung tiada apabila pembahagian daging tengah dibuat, ke mana pergi agaknya tu?

“Antara bahagian lain yang biasa hilang adalah torpedo (zakar lembu jantan) dan infinity stone (buah zakar lembu jantan). Siapa yang tak percaya benda ni berlaku, mungkin dia tak pernah turun padang buat kerja-kerja korban.

ARTIKEL BERKAITAN: Longgok perut lembu penuh tahi tepi tong sampah, penduduk terkejut ada orang tak reti urus haiwan korban… Busuk siap berulat!

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kroni’ bolot perut, tulang lembu… kepala dah lesap awal! Betul ke agihan tak adil buat ramai serik korban dengan masjid?

“Atau dia sendiri yang terlibat buat perangai macam ni sampai susah terima hakikat benda tu haram. Siapa yang nak siasat, aku jemput untuk ikut sekali buat aktiviti korban, kita boleh tengok sendiri,” ujarnya.

Tambah lelaki itu, tabiat sedemikian boleh dikira sebagai merampas hak sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada penama yang melakukan korban.

“Biasanya pengurus akan tanya siap-siap penama tentang pembahagian daging macam mana, supaya senang kerja nanti. Tak sepatutnya main ambil je,” jelasnya.

Ayah marah sebab ada jemaah minta kepala lembu untuk mereka, padahal masuk korban pun tidak.

WARGA MAYA

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya turut menyokong perkara yang disuarakan lelaki itu dan berharap masyarakat dapat lebih cakna.

“Pernah dulu saya di kampung buat korban depan rumah, tukang lapah siap datang bawa baldi seorang satu. Penuhkan dengan bahagian lembu yang mereka mahu seperti tulang dan lain-lain.

“Habis melapah tinggal la saki-baki yang sedikit untuk diagihkan kepada orang sekeliling. Tergamam aku waktu tu, jadi depan mata sendiri.

Tujuh penama akan mengambil bahagian dalam seekor haiwan korban.

“Betul, baru tadi ayah balik dari surau, dia duduk marah sebab ada sesetengah jemaah minta nak dapatkan kepala lembu untuk mereka, padahal masuk korban pun tidak.

“Daging korban tak boleh diberikan sebagai upah kepada tukang lapah atau tukang sembelih walaupun mendapat persetujuan penama.

“Kena diberikan asing daripada haiwan ternakan lain yang bukan korban,” kata sebahagian warga maya.

Sebagai peringatan bersama, haram hukumnya jika memberi upah daripada bahagian daging ibadah korban kepada tukang sembelih haiwan selepas ibadah tersebut selesai.

Sebaliknya berdasarkan penjelasan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dianyatakan hukum memberi upah atau saguhati dalam bentuk wang kepada penyembelih adalah diharuskan dengan syarat ia daripada duit penganjur sendiri.

Justeru pihak masjid atau penganjur juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top