RSS Suria

Tiga bulan tak makan nasi, wanita tumpah air mata sambil suap anak tamat latihan Paskau… Berselera nikmati air tangan ibu

TIADA seorang insan bergelar ibu sanggup melihat anak mereka berada dalam kepayahan atau menghadapi kesukaran dalam hidup.

Jika ia berlaku, air mata si ibu pastinya tumpah kerana tidak sanggup melihat zuriat yang dikandung berdepan ujian.

Begitulah drama air mata yang terjadi ketika Nor Hayati Abd Wahab mendapat tahu keperitan dilalui anaknya sepanjang mengikuti kursus komando elit Pasukan Khas Udara (Paskau), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menerusi perkongsian di TikTok, Hayati dilihat gagal menahan air mata ketika menyuap nasi untuk anaknya, Shyazwan Eiman Arman, 21.

Hayati bangga dengan kejayaan anak bongsunya yang berjaya menamatkan latihan Paskau.

“Pada masa tu Eiman nak bermanja-manja suruh saya suap makan. Tapi sebelum tu dia tak mengadu apa-apa, namun bapa saudaranya beritahu sesuatu.

“Katanya anak saya ni lama dah tak jumpa (makan) nasi. Eiman ni jenis tak nak beritahu mama dia, takut saya bersedih pula kalau mengadu. Sebab itulah yang saya sebak masa suap dia makan tu.

“Saya tanya berapa lama tak makan nasi? Dia cakap tiga bulan dah. Mahu tak menangis mak dia ni,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sniper cilik tiba di sekolah! Anak berpanas dalam rumput… Bapa mahu anak faham erti pengorbanan, semangat cinta negara

ARTIKEL BERKAITAN: Perajurit longlai tatap hadiah di hari pentauliahan, bapa sebak dedah ‘rahsia’! Arwah ibu dah tak perlu risau masa depan anak bongsu

Hingga kini video momen Hayati menyuap anaknya sambil menitiskan air mata selepas upacara penganugerahan beret biru Paskau kepada penuntut yang berjaya menamatkan Kursus Komando TUDM menerima lebih 483,000 jumlah tontonan.

Dalam pada itu wanita berusia 52 tahun berkenaan turut melahirkan rasa bangga melihat anak bongsunya berjaya menamatkan latihan selama empat bulan di Kem TUDM Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang.

“Saya nampak dia memang kurus sebab banyak masuk hutan. Apabila saya tanya, Eiman cakap yang dia makan apa yang terlintas depan mata je katanya.

Saya berharap dia akan menjadi seorang perwira yang sejati… dapat berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

NOR HAYATI

IBU

“Sebagai ibu mesti la saya bangga dengan pencapaian anak sendiri. Saya berharap dia akan menjadi seorang perwira yang sejati. Dapat berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujar si ibu yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan.

Menurut Hayati yang mempunyai tiga orang cahaya mata, dia dan suaminya sudah berpisah namun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu menerusi hantaran berikutnya, Hayati turut berkongsi kisah sedih lain ketika Eiman menjalani latihan sebagai anggota TUDM.

Eiman menangis apabila mengenangkan neneknya yang sudah meninggal dunia.

“Sebelum ni masa Eiman dalam latihan TUDM, arwah nenek dia masih ada lagi. Tapi apabila dapat posting ke Labuan, dia tak dapat tengok arwah nenek buat kali terakhir.

“Eiman sedih sangat… jadi dia nekad nak berjaya dalam Paskau ni. Eiman cakap nak banggakan datuk dia walaupun nenek tak dapat meraikan kejayaan dia.

“Memang ralat sangat apabila mak saya (nenek Eiman) tak dapat raikan kejayaan bersama-sama kami,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top