RSS Suria

[V] Bella Astillah syukur kes khalwat bekas suami selesai, isu babit Aliff Aziz bukan lagi urusannya

PELAKON dan penyanyi Bella Astillah hanya mampu mengucapkan syukur berhubung pengakuan bersalah dibuat Aliff Aziz dan Ruhainies membabitkan kes khalwat mereka berdua.

Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, sebaliknya menganggap Aliff bukan lagi urusannya kerana masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri.

“Alhamdulillah, bagi saya apa sahaja keputusan mereka buat, sama ada mengaku bersalah atau sebaliknya ia bukan lagi tanggungjawab saya.

Bella bersyukur dengan pengakuan yang dibuat oleh Aliff.

“Saya hanya mahu memberi fokus kepada diri sendiri dan anak-anak sahaja,” katanya kepada mStar.

Bella mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis agihan bubur lambuk anjuran penerbit Datuk A. Aida yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya pada Isnin.

Dalam pada itu, Bella enggan melihat pengakuan bersalah dibuat Aliff dan Ruhainies sebagai bukti kebenaran sudah berpihak kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku salah berkhalwat, sudah bayar denda RM3,000

ARTIKEL BERKAITAN:Patutlah Ruhainies dan Aliff Aziz tak muncul di mahkamah, kes khalwat dilaporkan selesai selepas bayar denda

Bagi Bella langkah mendiamkan diri adalah lebih baik kerana bimbang setiap kenyataannya disalah tafsir.

“Saya tidak mahu ulas lebih lanjut, bimbang sekiranya tersalah cakap.

“Tapi apa-apa pun saya percaya kalau kita berbuat baik, insya-Allah yang datang pada kita pun perkara baik,” ujarnya.

Apa sahaja keputusan mereka buat, sama ada mengaku bersalah atau sebaliknya ia bukan lagi tanggungjawab saya.

BELLA ASTILLAH

PELAKON & PENYANYI

Pada 27 Februari lalu, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan kes khalwat melibatkan Aliff dan aktres Ruhainies telah selesai.

Malah kedua-dua mereka sudah menjelaskan denda berjumlah RM3,000 selepas membuat pengakuan bersalah.

Aliff dan Ruhainies ditangkap berkhalwat pada 9 Mac tahun lalu selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Dalam sebutan pertama kes berkenaan pada Julai tahun lalu mereka mengaku tidak bersalah.

Aliff mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat dengan Ruhainies.

Ketika isu khalwat itu berlaku, Aliff masih merupakan suami kepada Bella.

Pasangan itu kemudian disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian, 8 dan Ara Adreanna yang kini berusia 5 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top