RSS Suria

[V] Dua pemuda cipta memori indah… Pimpin tangan sahabat OKU penglihatan tamatkan larian 21km! – “Saya tak fikir tentang PB”

KELIBAT dua peserta sebuah acara larian yang lari sambil berpimpinan tangan menyentuh hati ramai selepas mengetahui salah seorang daripadanya mengalami masalah penglihatan.

Menerusi sebuah video tular [Tonton Video], Ammar Naim dilihat berlari seiringan dengan Adry Fazmi ketika mereka menyertai kategori 21 kilometer (km) dalam Score Marathon 2025 di Putrajaya pada Ahad lalu.

Bercakap kepada mStar, Ammar, 27, berkata dia sudah mengenali rakannya itu sejak tahun 2011 dan ini merupakan acara larian kedua yang disertai mereka bersama.

Kisah persahabatan dua pelari marathon ini meraih perhatian ramai di media sosial.

“Adry merupakan kawan saya sejak tingkatan satu. Kami sebaya dan sudah 14 tahun berkawan. Adry baru saja mengalami masalah penglihatan tahun lepas.

“Adry tahu saya gemar berlari, jadi dia dapat inspirasi (untuk sertai) dan saya terbuka hati untuk teman serta jadi guide dia sepanjang perlumbaan.

“Pertama kali saya jadi guide runner dia dalam acara 10km awal tahun ini. Jadi ini merupakan acara kedua kami bersama,” ujar Ammar kepada mStar.

Sepanjang 21km, ramai yang bersorak dan beri kata-kata semangat pada kami.

AMMAR NAIM

PESERTA MARATHON

Menurut Ammar lagi, dia dan Adry yang sama-sama berasal dari Kuala Lumpur sempat melakukan beberapa sesi latihan sebelum acara 21km itu.

Tambahnya, mereka juga tidak berdepan sebarang cabaran ketika acara sebenar, sebaliknya makin bersemangat dengan reaksi dan sorakan yang diterima sepanjang larian.

“Sama seperti larian awal tahun hari tu, kali ini juga kami berpegangan tangan dan ikat tangan untuk lari bersama-sama. Kami sempat buat latihan dalam tiga kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Segak berlari pakai baju Melayu merah siap sampin, Edan Syah puas hati pecah rekod dunia maraton

ARTIKEL BERKAITAN: Bagai dapat extra power! Larian gadis laju habis selepas dikejar anjing, pecut tak pandang kiri kanan – "Silap-silap pecah rekod dunia"

“Apabila berlari dengan dia, saya dah tak fikir tentang catatan masa peribadi atau personal best (PB). Saya cuma mahu tamatkan larian bersama dia. Tapi Alhamdulillah, kami sampai ke garisan penamat dalam masa tiga jam.

“Sepanjang 21km, ramai yang bersorak dan beri kata-kata semangat pada kami. Kru acara dan jurufoto juga sangat baik dan banyak membantu.

“Saya pun tak rasa ada cabaran sepanjang berlari dengan Adry. Cuma saya perlu maklumkan kepadanya tentang arah, bukit atau bonggol jalan,” ujarnya lagi.

Ammar dan Adry bersama tunang masing-masing di acara berkenaan.

Mengulas tentang video tular mereka di media sosial, Ammar berkata dia cuma mengharapkan pencapaian Adry dalam acara itu mampu memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Saya rasa bersyukur dengan apa yang kami dapat tunjukkan. Semoga apa yang Adry capai dapat menjadi inspirasi kepada orang di luar sana.

“Ia juga satu mesej kepada sesiapa saja untuk mencabar diri dan tidak melihat apa-apa kekurangan sebagai penghalang untuk mencapai impian.

Ammar mahu menyertai lebih banyak acara larian dengan Adry pada masa akan datang.

“Saya juga berazam untuk sertai banyak lagi acara larian dengan Adry pada masa akan datang,” ujar Ammar yang mula aktif berlari sejak tahun 2021.

Dalam pada itu, Ammar berkata tunang kepada Adry iaitu Alyaa Najihah turut hadir untuk memberi sokongan dengan menunggu mereka di garisan penamat.

Tunang Ammar pula, Aida Shafit turut berlari bersama-sama sepanjang 21km dan bertanggungjawab menjadi juruvideo mereka.

Sekadar info, Ammar merupakan pegawai pelaburan di sebuah bank manakala Adry bekerja dalam bidang automotif.

Scroll to Top