RSS Suria

Wanita heret ‘ibu kutu’ naik mahkamah, tuduh larikan RM15,000! Siap syak terlibat aktiviti cuci duit

MENABUNG menggunakan konsep ‘kutu’ merupakan kaedah pilihan ramai terutama sekali golongan suri rumah tangga.

Tambahan pula, setiap pemain berpeluang mendapat sejumlah wang yang banyak dalam ‘sekelip mata’ apabila tiba giliran masing-masing.

Bagaimanapun, permainan kutu mempunyai risiko tersendiri sehingga terdapat akta khas yang menghalang orang ramai daripada terjebak dengannya.

Turut terkesan dengan permainan tersebut, seorang wanita yang enggan mendedahkan identiti tampil berkongsikan masalah yang dialami di Facebook.

Permainan kutu membolehkan mereka yang terlibat mendapat sejumlah wang yang banyak dalam 'sekelip mata'. -Gambar hiasan

Permainan kutu membolehkan mereka yang terlibat mendapat sejumlah wang yang banyak dalam ‘sekelip mata’. -Gambar hiasan

Menurutnya, ia berpunca daripada sikap penganjur permainan atau lebih dikenali sebagai ‘ibu kutu’ yang gagal menyerahkan wang kira-kira RM15,000 apabila tiba gilirannya.

“Saya saman ibu kutu kerana dia gagal membayar kutu secara tunai apabila tiba giliran saya disebabkan mengalami masalah kewangan.

“Saya tak sangka dia akan ambil peguam dan lawan balik. Kami di peringkat bicara penuh akan datang,” ujarnya.

Mengakui terkejut dengan ‘serangan balas’ berkenaan, wanita ini mengakui dia melakukan kesilapan dalam proses tuntutan saman kerana terlampau mengikut emosi dan pengaruh rakan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kuasa’ amukan mak kutu, anak kutu larikan duit dikesan sembunyi di rumah mertua, mujur suami nak ikhtiar!

Malah dia juga menuduh ibu kutu tersebut melakukan jenayah pengubahan wang haram supaya diberkas pasukan polis.

“Saya buat silap dengan menuduh dia buat pengubahan wang haram kerana ikut nasihat salah seorang kawan untuk perangkap ibu kutu… biar ditangkap kes jenayah komersil.

“Namun polis tidak membuka kes (komersil) sebab bukan pengubahan wang haram, sebaliknya hanya hutang kutu.

“Sebenarnya bukan pengubahan wang haram tapi kutu tradisional dan tiada upah yang dia ambil atau faedah,” jelasnya lagi.

Tuduhan pengubahan wang haram adalah serius dan boleh menjejaskan kredibiliti anda jika didapati tidak berasas.

PENGAMAL UNDANG-UNDANG

Lebih mengejutkan apabila dia turut mengaku menyebarkan maklumat peribadi ibu kutu tersebut bersama wajah suami serta anak-anak.

Susulan daripada tindakan yang dibuat, wanita ini meluahkan kebimbangan sekiranya tuntutan samannya untuk mendapatkan kembali wang tunai permainan kutu tidak berjaya.

Tambahan pula, dia menyertai permainan tersebut dengan kerelaan hati dan tanpa paksaan.

“Ada kemungkinan mahkamah batal saman saya memandangkan saya sendiri main kutu tanpa paksaan? Kalau dia menang, dia tak mahu bayar duit kutu kerana saya memalukan dia dengan viral.

Kutu diharamkan di Malaysia. -Gambar hiasan

Kutu diharamkan di Malaysia. -Gambar hiasan

“Apa perlu saya buat? Saya risau dia saman saya balik sebab hal viral,” luahnya bimbang.

Luahannya itu mendapat perhatian warga maya terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang perundangan negara.

Ramai yang mencadangkannya supaya mendapatkan khidmat nasihat peguam kerana kes tersebut memberi impak besar.

“Kes yang awak sebut ni tak berkaitan dengan satu sama lain. Tuduhan pengubahan wang haram tu polis yang dakwa sebab jenayah, bukan saman sivil dan awak tularkan dia… dia boleh saman malu.

“Tuduhan pengubahan wang haram adalah serius dan boleh menjejaskan kredibiliti anda jika didapati tidak berasas. Dalam kes ini, polis memutuskan bahawa tiada kes pengubahan wang haram dan ia hanyalah kes hutang kutu,” ujar beberapa pengamal undang-undang.

Sebagai peringatan, kegiatan bermain kutu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top