RSS Suria

Wulandary jaga adab, minta izin Zahirah sebelum berlakon dengan Aiman Hakim Ridza… Elak situasi kekok

SEBELUM berlakon bersama Aiman Hakim Ridza, aktres Indonesia Wulandary Herman mengambil inisiatif untuk meminta izin terlebih dahulu daripada isteri aktor berkenaan iaitu Zahirah MacWilson.

Menurut Wulan, 36, langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan dan salah faham semasa menjalani penggambaran drama bersiri Bad Cop.

Jelasnya, dia menghubungi Zahirah secara peribadi melalui mesej di Instagram memandangkan mereka saling mengikuti di platform media sosial tersebut.

Wulan mahu berlakon dengan suasana yang tenang.

"Saya kenal isteri Aiman, jadi saya mesej dia di Instagram dan minta izin untuk berlakon bersama Aiman.

"Saya ada banyak babak bersama Aiman, kadang-kadang ada adegan yang sangat dekat yang membuatkan saya malu dan segan.

"Tindakan itu hanya untuk pastikan semua orang rasa selesa," katanya kepada mStar.

Tambah Wulan, dia pada mulanya agak ragu-ragu sama ada tindakan itu wajar, namun bimbang jika babak yang dilakonkan boleh menyinggung perasaan Zahirah.

ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Hakim Ridza terlalu dalami watak sampai susah tidur, ada ketika bercakap sendiri… Isteri beri sokongan moral waktu ‘breakdown’

ARTIKEL BERKAITAN: Fokus ‘renovation’ rumah, Aiman Hakim tolak tawaran lakonan enam bulan

Katanya lagi, mereka pernah bertemu dalam beberapa acara sebelum ini dan dia tidak mahu situasi menjadi kekok sekiranya terserempak pada masa akan datang.

"Ini kali pertama saya berlakon di Malaysia tapi secara peribadi, saya tak mahu dianggap tidak menghormati Zahirah jika ada adegan menatap wajah penuh emosi atau memegang tangan.

"Rasanya kekok kalau saya tak cakap apa-apa sedangkan kami kenal. Ia bukan sekadar minta izin, tapi juga soal adab.

“Alhamdulillah dia sangat memahami dan minta saya jangan risau kerana Aiman sudah bercerita mengenainya," katanya.

Dulu di Jakarta pun saya lakukan perkara yang sama.

WULANDARY HERMAN

PELAKON

Wulan turut menjelaskan bahawa perkara sebegini sudah menjadi kebiasaannya ketika berlakon di Indonesia, terutamanya jika digandingkan dengan pelakon lelaki yang sudah berumah tangga.

Malah, dia turut berharap menerima layanan yang sama sekiranya suaminya seorang pelakon.

"Ya, saya selalu buat. Dulu di Jakarta pun saya lakukan perkara yang sama kerana hanya ingin menghormati isteri pelakon itu.

"Kalau saya jadi isteri kepada pelakon pun, saya berharap orang akan lakukan perkara itu kepada saya," ujarnya.

Wulan sentiasa amalkan adab menjaga hati.

Dalam perkembangan lain, Wulan dan Aiman akan bergandingan dalam drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong.

Bad Cop mengetengahkan elemen jenayah, psikologi dan isu sosial dengan pendekatan satu kes bagi setiap episod.

Selain Aiman dan Wulan, drama ini turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Melissa Campbell dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top