RSS Suria

Zizan Razak tanya pendapat ustaz, sedekah bukan untuk bermegah… Sedar diri sendiri pendosa

TINDAKAN pelakon dan pelawak Zizan Razak mendapat pujian ramai apabila dia menyumbangkan keseluruhan bayaran diterima semasa menjadi tetamu dalam sebuah acara yang berlangsung di Terengganu pada awal Mei lalu.

Bukan untuk bermegah, bagi Zizan atau Mohamad Razizan Abd Razak, 41, amalan sedekah ini juga memberi contoh baik kepada masyarakat.

Malah dia sendiri telah mendapatkan pandangan golongan berilmu sebelum secara spontan berbuat demikian.

Ketika Zizan menyerahkan wang bayarannya kepada Ustaz Azhar Idrus (kanan).

Ketika Zizan menyerahkan wang bayarannya kepada Ustaz Azhar Idrus (kanan).

“Saya sudah tanya ustaz dan diberitahu perbuatan itu dapat memberi iktibar kepada orang lain agar mereka berminat untuk lakukan perkara sama.

“Bila ustaz bercakap begitu, saya niat melakukan sumbangan kerana Allah. Saya juga berpendapat ini cara terbaik kerana pastinya memberi impak positif sama ada kita nampak atau tidak,” katanya kepada mStar.

Zizan mengulas perkara itu selepas tular video dia menyerahkan sampul berisi sejumlah wang kepada penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus di acara Forum Dialog Anak Muda di Festival Makar Fest 2.0.

ARTIKEL BERKAITAN:[V] Ditipu wang ringgit, Zizan Razak malas nak mengemis meminta-minta… “Saya tahu tidur mereka tak lena”

ARTIKEL BERKAITAN:Pemilik restoran nekad tutup perniagaan, cerita bagaimana Zizan Razak datang jadi penyelamat – “Berderu pelanggan masuk”

Wang bayaran sebagai moderator itu diberikan sebagai sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Fisabilillah Terengganu.

Tambah pelakon ini sejak awal lagi dia sudah berniat untuk menyumbangkan bayaran tersebut bagi tujuan kebajikan.

“Ketika itu saya terfikir dan memang dari awal minta penganjur untuk sediakan wang tunai. Bila dah terlintas begitu saya terus buat sahaja.

“Saya dah berniat tak mahu pegang duit itu. Kalau masuk akaun bank susah pula nak keluarkan semula,” ujarnya.

Sentiasa percaya pada rezeki, bagi Zizan amalan bersedekah juga mengajar dia menjadi lebih matang dan bijak menjaga tingkah-laku.

Sumbangan yang diberikan sebelum ini bukanlah kali pertama dilakukan olehnya.

Zizan bersama Ustaz Azhar Idrus (tengah) dan Ustaz Kamaruzzaman.

Zizan bersama Ustaz Azhar Idrus (tengah) dan Ustaz Kamaruzzaman.

“Amalan begini mengingatkan saya untuk elak melakukkan perkara tidak elok. Proses kematangan itu ada.

“Setiap rezeki bukan untuk saya sahaja. Cara terbaik adalah dengan melakukan amal soleh kerana kita tidak tahu pengakhiran bila, amalan kita cukup atau tidak.

“Saya takut orang melihat saya baik sedangkan diri ini juga pendosa. Sama seperti orang lain, saya juga tidak lari daripada melakukan kesalahan,” luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top